ALOR SETAR: Bekas Naib Cancelor Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah dan bekas ketua pasukan bola sepak Kedah, Muhammad Radhi Mat Din menjadi antara muka baharu yang dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Kedah, hari ini.

Haim Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra akan memegang portfolio Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, dan Sains, Teknologi dan Inovasi, manakala Radhi yang merupakan ADUN Alor Mengkudu diberi tanggungjawab di bawah portfolio Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, serta Belia dan Sukan.

Hanya tiga Exco bagi penggal terdahulu dikekalkan iaitu ADUN Merbau Pulas, Datuk Siti Ashah Ghazali; ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Halimaton Saadiah Saad; dan ADUN Kuala Nerang, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria.

Selain Haim Hilman dan Radhi, lima lagi muka baharu turut dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah bagi penggal ini iaitu ADUN Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat; ADUN Kuala Ketil, Mansor Zakaria; ADUN Kubang Rotan, Datuk Mohd Salleh Saidin; ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani; dan ADUN Kulim, Wong Chia Zhen.

Kesemua mereka sebelum itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dalam Majlis Pelantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah di Balai Menghadap Besar, Istana Anak Bukit, pagi tadi.


Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan memegang lapan portfolio melibatkan Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Mineral dan Geosains, Hasil Bumi, Kewangan, Syarikat Berkaitan Kerajaan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Pembangunan Kedah 2035, dan Kerjasama Luar.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah menyaksikan Perikatan Nasional (PN) kekal mentadbir di negeri itu selepas memenangi 33 daripada keseluruhan 36 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Angka itu juga menjadikan PN mempunyai kedudukan yang kukuh bagi membentuk kerajaan negeri selepas hanya tewas di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kota Darul Aman, Sidam, dan Bakar Arang.


Berikut senarai penuh Exco Negeri Kedah dan portfolio masing-masing:

1. Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (ADUN Jeneri) Menteri Besar Kedah
Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Mineral dan Geosains, Hasil Bumi, Kewangan, Syarikat Berkaitan Kerajaan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Pembangunan Kedah 2035, dan Kerjasama Luar.

2. Datuk Siti Ashah Ghazali (ADUN Merbau Pulas)
Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan.

3. Mohd Azam Abd Samat (ADUN Sungai Limau)
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan.

4. Haim Hilman Abdullah (ADUN Jitra)
Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi, dan Sains, Teknologi & Inovasi.

5. Datuk Halimaton Saadiah Saad (ADUN Bukit Kayu Hitam)
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat, dan Perpaduan.

6. Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria (ADUN Kuala Nerang)
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar.

7. Mansor Zakaria (ADUN Kuala Ketil)
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan.

8. Dzowahir Ab Ghani (ADUN Suka Menanti)
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan.

9. Datuk Mohd Salleh Saidin (ADUN Kubang Rotan)
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Keusahawanan.

10. Muhammad Radhi Mat Din (ADUN Alor Mengkudu)
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan & Kos Sara Hidup, dan Belia & Sukan.

11. Wong Chia Zhen (ADUN Kulim)
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam, dan NGO.