KUALA LUMPUR: Hak mutlak rakyat Palestin untuk membentuk sebuah negara merdeka yang berdaulat wajib dipertahan, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia bersolidariti dan berdoa agar Palestin terus dilindungi serta dirahmati Allah SWT.

"Dalam krisis yang berlaku hari ini, saya ingin menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam, Liga Arab, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan seluruh dunia Islam bersatu dan bersama menghentikan kekejaman yang dilakukan rejim Zionis Israel ke atas bumi Palestin," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas iaitu pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak Ahad lepas telah mengakibatkan kehilangan ratusan nyawa kedua-dua belah pihak.

Ismail Sabri turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak terperangkap dengan naratif Israel dan Barat bahawa konflik ini berpunca daripada Hamas sedangkan ia diakibatkan oleh sejarah yang sangat panjang.

[LAPOR LANGSUNG] Perang Palestin-Israel: 687 terbunuh di Gaza, 17 di Tebing Barat

"Rakyat Palestin dikurung dalam penjara terbuka yang terbesar di dunia berdekad-dekad lamanya. Mereka dizalimi, dibunuh dan tanah dirampas. Setiap hari, mereka hanya menunggu masa untuk menjadi korban serangan rejim Israel.

"Selagi puncanya tidak diselesaikan maka konflik ini akan terus berpanjangan dan mengorbankan ribuan nyawa," katanya.

-- BERNAMA