MALAYSIA
Hakim Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi baharu angkat sumpah 28 Julai - PM Anwar

Menurut Anwar, proses pelantikan kesemua hakim baharu telah melalui semua peringkat sewajarnya termasuk penilaian Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, perbincangan dengan Raja-Raja Melayu serta perkenan Yang di-Pertuan Agong.
PERMATANG PAUH: Lapan Hakim Mahkamah Rayuan dan 14 Hakim Mahkamah Tinggi yang baharu dijadual mengangkat sumpah pada 28 Julai ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, proses pelantikan itu telah melalui semua peringkat sewajarnya termasuk penilaian Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), perbincangan dengan Raja-Raja Melayu serta perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Ramai tanya saya kenapa tidak umum lebih awal. Saya tidak boleh jawab sewenang-wenangnya kerana proses pelantikan hakim melibatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Ia perlu melalui perbincangan bersama Raja-Raja dan setelah dipersetujui barulah dibawa semula kepada Agong untuk diperkenan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Induk Bumiputera, Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB, di sini, hari ini.Anwar berkata, tiada hakim yang dipecat sepertimana digambarkan oleh sesetengah pihak, sebaliknya proses pemilihan hakim baharu perlu dilaksanakan dengan teliti dan penuh hormat kepada sistem Raja Berperlembagaan.
Pada majlis anjuran Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) itu, Anwar melancarkan Pelan Induk Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (PIPBPP) 2026-2035, Program Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB sebagai inisiatif membantu golongan Bumiputera Pulau Pinang.
Pelancaran PIPBPP 2026-2035 itu bakal menjadi panduan strategik utama dalam memacu pembangunan komuniti Bumiputera di Pulau Pinang secara berterusan, inklusif dan mampan sepanjang tempoh sepuluh tahun, berdasarkan Rukun MADANI.
PIPBPP dibangunkan dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM) serta Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai perunding dan penyelidik bersama MPBPP.
Program Tunas MADANI pula dirangka dengan objektif khusus membina keupayaan graduan Bumiputera agar beralih daripada bersifat pencari kerja kepada pencipta peluang melalui bidang keusahawanan.
Di bawah Program Tunas MADANI itu juga, modul pembangunan keusahawanan yang holistik merangkumi latihan intensif, bimbingan fasilitator/mentor industri, sokongan pembiayaan serta akses kepada pasaran akan disediakan.
Pengerusi MPBPP, Tan Sri Khalid Ramli ketika berucap pada majlis itu berkata, pihaknya dengan kerjasama UiTM Pulau Pinang menyasarkan sekurang-kurangnya 100 graduan menyertai Tunas MADANI fasa pertama, dengan sasaran 80 peratus peserta berjaya menubuhkan perniagaan aktif dalam tempoh 12 bulan.
"Projek Perumahan oleh JKPSB melibatkan pembinaan tiga perumahan dengan jumlah keseluruhan 3,231 unit kediaman di Permatang Pauh melibatkan jumlah kos pembangunan mencecah RM1 bilion," katanya.
Menurut Khalid, inisiatif itu bertujuan membuka peluang kepada komuniti Bumiputera Pulau Pinang memiliki rumah yang dilengkapi dengan kemudahan asas dan persekitaran kondusif.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami