Hakisan, saluran air tersumbat dipercayai punca runtuhan cerun di Taman United

Lebih 100 penduduk di pangsapuri kos rendah di Taman United diarahkan berpindah semalam, ekoran kejadian tanah runtuh susulan hujan berterusan sejak pagi. - Gambar/ JBPM
KUALA LUMPUR: Kejadian cerun runtuh di Taman United, di sini pagi semalam dipercayai berlaku disebabkan dinding penahan tidak mampu menampung beban akibat hakisan air.
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata dinding itu juga ditumbuhi pokok besar yang menambah beban selain menyebabkan saluran air dipenuhi akar dan tersumbat.
Beliau berkata perkara itu dimaklumkan pegawai Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Selangor dan Kuala Lumpur yang melakukan pemeriksaan di situ.
"Dinding penahan bukan jenis diperkuat dan telah lama hilang kekuatan akibat hakisan air," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di lokasi kejadian hari ini.
Hadir sama Pengarah JMG Selangor dan Kuala Lumpur Rusli Mohamad.
Kok menasihatkan penduduk Blok C untuk patuh arahan berpindah ke Dewan Komuniti Sri Petaling demi keselamatan mereka, dengan pusat khidmatnya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membantu menyediakan bantuan sewajarnya.
Semalam, Bernama melaporkan lebih 100 penduduk di pangsapuri kos rendah di Taman United diarahkan berpindah ekoran kejadian tanah runtuh susulan hujan berterusan sejak pagi
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima laporan tanah runtuh pada 11.02 pagi melibatkan cerun di Jalan Sepadu 6, namun kejadian tidak melibatkan kemalangan jiwa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


