Skip to main content

Malaysia

Isu anemia, bantut dalam kalangan murid sekolah perlu diberi perhatian - Fadhlina

Fadhlina berkata usaha memastikan murid mendapat pemakanan mencukupi turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya sasaran mengakhiri kelaparan. - Foto fail/BERNAMA
Fadhlina berkata usaha memastikan murid mendapat pemakanan mencukupi turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya sasaran mengakhiri kelaparan. - Foto fail/BERNAMA

Ringkasan AI

  • Kementerian Pendidikan menekankan kepentingan pemakanan murid bagi menangani isu anemia dan bantut di semua peringkat persekolahan.
  • Program Susu Sekolah di bawah RMT menyasarkan hampir 80 juta pek susu UHT setahun kepada murid keluarga B40 sepanjang hari persekolahan.
  • Farm Fresh menyerahkan cek cura RM500,000 untuk dermasiswa kepada 500 pelajar Tingkatan Enam daripada keluarga B40 bagi membantu pengajian mereka.
Advertisement

BATU KAWAN: Aspek pemakanan murid di semua peringkat persekolahan perlu diberi perhatian, susulan kebimbangan terhadap masalah kesihatan seperti anemia dan bantut dalam kalangan kanak-kanak serta remaja.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata meskipun pelbagai program sokongan pemakanan dilaksanakan di peringkat prasekolah dan sekolah rendah, masalah sama turut dihadapi murid sekolah menengah.

“Isu kesihatan yang lebih membimbangkan ialah anemia dan bantut yang masih berlaku dalam kalangan anak-anak kita. Sebab itu, tumpuan pemakanan ketika ini diberikan kepada murid prasekolah.

Advertisement

"Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan program sokongan pemakanan di sekolah rendah masih diperlukan, namun pada masa sama, murid sekolah menengah turut berdepan masalah serupa,” katanya ketika berucap merasmikan Gala Hari Susu Sekolah Sedunia 2026 di sini pada Rabu.

Beliau berkata usaha memastikan murid mendapat pemakanan mencukupi turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya sasaran mengakhiri kelaparan.

Advertisement

Fadhlina turut menekankan peranan keluarga dalam merancang pemakanan sihat serta berharap kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan (KPM), syarikat tenusu Farm Fresh dan rakan strategik lain terus diperkukuh demi manfaat murid dan masyarakat.

Sementara itu, Ketua Pengarah Operasi Farm Fresh Azmi Zainal berkata Program Susu Sekolah (PSS) yang dilaksanakan di bawah RMT KPM bertujuan menangani masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Beliau berkata kontrak pembekalan PSS bagi tempoh 2025 hingga 2030 meliputi hampir 80 juta pek susu suhu ultra tinggi (UHT) tanpa perisa setahun kepada murid penerima RMT sepanjang hari persekolahan.

"Memastikan bekalan susu sampai kepada murid setiap hari bukan tugas mudah. Kami turut menghargai usahawan penghantaran yang memainkan peranan penting menyalurkan susu ke setiap sekolah terlibat, termasuk di kawasan pedalaman yang jauh dan sukar diakses," katanya.

Pada majlis itu, Farm Fresh turut menyerahkan cek cura bernilai RM500,000 bagi membiayai dermasiswa kepada 500 pelajar Tingkatan Enam daripada keluarga B40 dengan setiap pelajar menerima RM1,000 bagi membantu melanjutkan pengajian.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement