Sejumlah 46,547 pengguna di Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran penutupan sementara Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP 1) oleh Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) Priscilla Alfred berkata penutupan itu berikutan gangguan bekalan elektrik di LRA berkenaan dari 4 pagi hingga 6 pagi Selasa.

Beliau berkata ini menyebabkan pengeluaran air terawat daripada LRA SSP1 ke kolam yang menerima bekalan air berkurangan dan mengakibatkan penurunan paras simpanan.

Bekalan ke kawasan terbabit dijangka memerlukan masa agak lama untuk pulih secara berperingkat kerana rizab kapasiti bekalan air terawat daripada loji sedia ada amat kecil disebabkan permintaan yang sangat tinggi berikutan cuaca panas yang dialami ketika ini, katanya.

Dalam pada itu, Priscilla berkata SYABAS mengenal pasti lokasi paip pecah yang mengakibatkan sejumlah 1,184 pengguna di Pulau Ketam dan Sungai Lima, Klang turut mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Beliau berkata lokasi paip pecah terletak di dasar laut berhampiran Terminal Glenn Cruise dan bagi mengenal pasti kaedah paling sesuai untuk memperbaikinya akan mengambil sedikit masa berikutan kedudukan paip yang rosak berada di jajaran paip sepanjang 18 kilometer itu.