PASIR MAS: Seorang lelaki disyaki 'tonto' bertindak agresif dengan cuba melanggar anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) yang cuba menahannya dalam kejadian di Baroh Pial kira-kira pukul 12.30 tengah malam, Selasa lepas.

Ekoran tindakan itu, anggota PGA9 terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar hadapan dan belakang kenderaan jenis BMW yang dipandu lelaki itu bagi menghentikan kenderaan berkenaan.

Pegawai Pemerintah PGA9 Supt Mannadzar Nasib berkata kereta berkenaan kemudiannya ditemukan terbabas, namun lelaki itu tidak dapat diberkas apabila hilang selepas melarikan diri di dalam semak.

Beliau berkata sebelum itu anggotanya yang menerima maklumat mengenai sebuah bas persiaran yang diiringi rapat sebuah kereta jenis BMW disyaki tonto berdekatan Kampung Pohon Tanjong, di sini yang dilihat mencurigakan, mengekori kedua-dua kenderaan itu, namun kedua-duanya memecut laju bagi melepaskan diri kemudiannya.

"Kita berjaya menahan bas persiaran terbabit di hadapan sebuah pasar raya di Tanah Merah selepas mengejar sejauh 30 kilometer (km). Pemandu BMW itu turut memberhentikan kenderaan namun apabila cuba diperiksa dia telah memecut dan cuba melanggar anggota PGA9.

"Pihak kami terpaksa melepaskan tembakan di bahagian tayar bagi memberhentikan kereta terbabit namun dia terus memecut laju," katanya kepada pemberita pada sidang media di Markas Taktikal PGA Lubok Setol di sini, hari ini.

Mannadzar berkata susulan pemeriksaan bas persiaran itu, pihaknya menemukan 20 warga Myanmar berusia antara 15 hingga 30-an termasuk seorang wanita, dipercayai pendatang haram, dan pihakny turut menahan dua lelaki tempatan berusia 30-an disyaki anggota kumpulan penyeludupan migran yang bertindak sebagai pemandu bas.

"Kami percaya sindiket ini menyewa bas persiaran berkenaan untuk membawa pendatang haram Myanmar ke Kuala Lumpur. Kesemua pendatang Myanmar ini juga dipercayai masuk lebih negara ini menggunakan laluan haram sekitar Kampung Pohon Tanjong di sini.

"Taktik menggunakan bas persiaran ini adalah modus operandi terbaru sindiket bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63, manakala tekong terbabit disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

"Kes juga akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh anggota," katanya.

-- BERNAMA