KUALA LUMPUR: Hanya 2.1 juta individu atau 6.3 peratus keseluruhan rakyat negara ini mempunyai ilmu asas pertahanan awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kerajaan mahu meningkatkan kadar kepada 10 peratus rakyat diberikan latihan asas pertahanan awam seperti ditetapkan oleh Pertubuhan Pertahanan Awam Antarabangsa (ICDO)

"ICDO menyarankan sekurang-kurangnya 10 peratus rakyat setiap negara mesti mempunyai ilmu asas ini namun perjalanan kita bagi mencapai sasaran itu masih jauh lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Pertahanan Awam ke-71 di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), di Bangi, dekat sini, pada Jumaat.

Katanya, mereka yang telah diberi latihan asas pertahanan awam boleh menjadi sukarelawan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap petugas tetap Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Pada majlis tersebut, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, ditauliahkan sebagai Pesuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam serta pengumuman penubuhan 12 pasukan Bantuan Pertahanan Awam (CDA) berdasarkan tiga skop bantuan utama iaitu latihan, kepakaran dan pelbagai.

-- BERNAMA