MELAKA: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali tampil duduk semeja menjelaskan ‘cakap-cakap’ politik kononnya jawatan nombor satu pentadbiran negeri itu akan bertukar tangan pada Januari ini.

Menerusi beberapa klip video yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook Penerangan Barisan Nasional (BN) Masjid Tanah malam tadi, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, isu yang dibangkitkan itu merupakan fitnah oleh individu-individu berkepentingan.

Bahkan, tegas Ab Rauf, beliau dan Sulaiman sedang memerhati karakter dan tindakan kumpulan berkenaan yang sengaja menghangatkan dinamika kerajaan dan Barisan Nasional (BN)negeri yang telah mendapat dua pertiga mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum ini.

“Saya menegaskan kepada mereka yang berkepentingan dalam isu ini tolong hentikanlah (kerana) kami ini sebenarnya memerhatikan tingkah laku dan karakter mereka yang memainkan isu dan juga menghangatkan suasana kerajaan negeri, yang mana persahabatan kami adalah sebuah persahabatan yang amat baik.

“Kami dahulu lagi dah berjanji apa yang berlaku sekalipun, tidak akan ada dusta antara kita dan sebenarnya angin yang sedang bertiup kencang ini adalah fitnah kerana perkara yang dibangkitkan amat memalukan, lebih-lebih lagi kerajaan negeri ini telah menang dua pertiga kepercayaan rakyat.

“Adalah malang apabila muncul tokoh-tokoh yang berkepentingan menabur fitnah kepada saya dan juga melagakan hubungan kami berdua termasuk Datuk Kamarulzaman Jantan (Jawatankuasa UMNO Bahagian Masjid Tanah)… saya minta tolong hentikan kerana hanya ajal dan maut boleh pisahkan kami bertiga ini,”katanya.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan Sulaiman yang juga Adun Lendu menafikan dakwaan kononnya kedudukan beliau akan digantikan oleh Ab Rauf susulan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang melaporkan beliau berhasrat berbuat demikian

Senario itu menyebabkan polemik politik Melaka kembali hangat dan mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk blok pembangkang.

Sementara itu, Sulaiman menerusi rakaman klip video yang sama menegaskan, fokus utama beliau kini adalah untuk terus memajukan negeri Melaka dan bukan melayani fitnah yang tidak berkesudahan.

Katanya, rakyat juga tidak perlu gusar atau bimbang terhadap isu yang ditimbulkan oleh musuh yang sengaja menggugat keamaan yang sedang dikecapi ketika ini.

“Kami bertiga memang berkawan sudah lama, jadi saya mohon perkara-perkara ini tidak usah digembar-gemburkan lagi dan kita fokus kepada tugas yang telah diamanahkan.

“(Kerana) kesannya nanti adalah kepada seluruh negeri terutamanya rakyat, maka hentikanlah perkara yang tidak mendatangkan keuntungan dan tak usah bimbang terhadap apa yang disebut-sebut itu. Saya mohon hentikan fitnah dan dakyah serta semua pandangan negatif itu,”ujarnya.