Bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan prinsip mendengar suara rakyat dan melindungi kepentingan rakyat sudah diabaikan oleh pemimpin.

Menurut beliau, keadaan sebegitu mendorong berlangsungnya perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Isnin malam.

"Rakyat sudah tidak ada hak untuk menyuarakan pendapat."

"Mereka cuma boleh kata 'ya' kepada apa sahaja dikatakan pemimpin," kata Dr Mahathir semasa berucap sejurus selepas selesai ucapan khas Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tambah beliau, UMNO sudah jadi tidak demokratik.


"Timbalan presiden tidak dibenar bercakap, naib juga tidak dibenar dan ahli dipilih hanya yang berkata 'ya' sahaja," kata Dr Mahathir sebagai merujuk kepada Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung selama lima hari bermula Selasa.

Beliau turut mendakwa, perwakilan yang hadir pada perhimpunan parti terbesar orang Melayu itu dilarang menyentuh perkara tertentu.