Pelajar yang membawa telefon bimbit ke sekolah disifatkan golongan yang mencari publisiti murahan dan bukan di dalam budaya masyarakat negara ini.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, pelajar berkenaan sekali gus akan terdedah gaya hidup negatif yang diperolehi terutama daripada telefon pintar masing-masing.

"Kita tidak pernah sokong dan benarkan pelajar membawa telefon bimbit tetapi kadang-kadang mereka ini curi-curi bawa ke sekolah. Mereka ini (pelajar) kebih kepada hanya mahu glamour dan menunjuk-nunjuk telefon mereka berbanding untuk berkomunikasi.

"Mungkin di asrama senarionya berlainan, ia mungkin boleh dipertimbangkan dan boleh dikaji semula," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hashim mengulas cadangan exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain agar Kementerian Pendidikan menimbang semula keputusannya untuk tidak membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah.

Kenyataan itu turut disokong Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil, Noorfajri Ismail berpendapat bahawa murid-murid harus memberi lebih tumpuan kepada pelajaran.

Dalam pada itu Hashim menjelaskan, antara risiko lain membawa telefon bimbit ke sekolah ialah menyebabkan pelbagai kes termasuk buli akan dirakam.

Walaupun angkanya terlalu kecil jika dibandingkan dengan keseluruhan jumlah pelajar di negara ini, Hashim mengakui ia menyebabkan nama baik pelajar dan sekolah terjejas.

"Jika dibandingkan beberapa kes buli yang dirakam dan didedahkan dengan jumlah keseluruhan pelajar, kita tahu ia masih kecil. Bagaimanapun pendedahan itu membawa kepada kesedaran semua pihak.

"Kes itu walaupun terpencil namun kita terlalu memberi fokus terhadapnya. Kita harus memikirkan tanpa telefon bimbit 'aksi' itu tidak akan dirakam," jelasnya.

Kelmarin, negara dikejutkan dengan penyebaran klip video pelajar dibuli berdurasi seminit lima puluh saat yang tersebar di media sosial.

Menerusi klip video tersebut, murid berkenaan kelihatan menangis apabila disepak, ditampar dan dihentak kepala ke dinding di sebuah kelas.

Selain itu, mangsa turut diletakan bakul sampah di kepala dan kain sejadah yang dibentuk di atas kepala oleh beberapa pelajar lain.