BINTULU: Kerajaan memutuskan untuk menurunkan harga diesel di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak kepada RM2.10 seliter berkuat kuasa Julai ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu bertujuan memastikan semua rakyat negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak dapat menikmati manfaat yang sama.
"Jadi sebab itu kita pastikan, pertama harga diesel diturunkan daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 sen seliter. Ini untuk memanfaatkan semua rakyat khususnya rakyat Sabah dan Sarawak bermula Julai ini.
"Maknanya kalau guna MyKad... harga sama di Semenanjung, Sabah dan Sarawak iaitu RM2.10 seliter untuk rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan diesel," katanya.
Beliau berucap pada Majlis Penyerahan Cek Penukaran Status Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri di Menara Kidurong, di Bintulu hari ini.
Anwar berkata penurunan harga berkenaan akan dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang seragam di seluruh negara menggunakan mekanisme berasaskan MyKad, selaras dengan pendekatan yang telah dilaksanakan melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan kaedah itu penting bagi memastikan subsidi diesel disalurkan kepada golongan sasar selain mengurangkan ketirisan dan membendung aktiviti penyeludupan bahan api, khususnya di kawasan sempadan.
Pada Mac lepas, Anwar dilaporkan berkata kerajaan mengekalkan harga diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak pada kadar RM2.15 seliter meskipun berdepan peningkatan kos subsidi susulan kenaikan harga minyak di pasaran dunia.
Sementara itu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan berasingan berkata melalui pembaharuan ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga dan cara yang sama di seluruh negara.
Tegasnya, subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi.
Kementerian itu menambah, ketika ini diesel masih dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak di Sabah dan Sarawak, berbanding harga runcit tanpa subsidi sebanyak RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia.
"Menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada harga runcit di Semenanjung Malaysia, sekali gus memastikan bukan warganegara tidak lagi menikmati subsidi tersebut.
"Dalam masa sama, rakyat di Sabah dan Sarawak yang memiliki kenderaan diesel akan menikmati pengurangan harga runcit daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter," katanya.
Selain itu, Kementerian Kewangan memaklumkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel itu akan diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan esok.