Harga Pas Perjalanan BAS.MY turun kepada RM30 - Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke (tiga, kiri) bergambar belatarbelakangkan Bas.My pada Majlis Pelancaran Bas.My Johor Bahru di Hentian Bas Sutera Mall hari ini. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Harga Pas Perjalanan Tanpa Had bagi Kad 30 Hari BAS.MY di seluruh negara diturunkan daripada RM50 kepada hanya RM30 sebulan bagi membolehkan rakyat menikmati perjalanan tanpa had dengan kos serendah RM1 sehari.
Ringkasan AI
- Harga Pas BAS.MY diturunkan kepada RM30 sebulan (daripada RM50), membolehkan rakyat menikmati perjalanan tanpa had dengan kos serendah RM1 sehari, berkuat kuasa serta-merta.
- Kerajaan labur RM134.94 juta untuk SBST Johor Bahru yang kini mempunyai 21 laluan dan mencatat 940,000 penumpang tahun ini; sasaran purata bulanan melebihi satu juta penumpang.
- Perkhidmatan baharu BAS.MY Medik akan dilancar hujung tahun ini di Johor Bahru untuk pesakit dialisis, OKU dan pengguna kerusi roda, dengan tempahan melalui aplikasi atau telefon.
"Pelaksanaan BAS.MY di Johor Bahru kini merangkumi 21 laluan, iaitu penambahan tiga laluan daripada 18 laluan sebelum ini. Bagi tujuan itu, kerajaan Persekutuan akan melabur sebanyak RM134.94 juta bagi tempoh dua tahun, bersamaan dengan RM67.47 juta setahun, bagi memastikan perkhidmatan SBST Johor Bahru terus memberikan manfaat kepada rakyat.
"Dengan sokongan berterusan daripada kerajaan, pengendali BAS.MY Johor Bahru disaran supaya meningkatkan usaha agar mampu mencatat purata bulanan melebihi satu juta penumpang pada masa hadapan.
"Inisiatif ini hanya terpakai untuk warganegara Malaysia, manakala bukan warganegara masih perlu membayar tambang penuh. Penurunan harga pas itu juga akan diperluas ke semua negeri yang mempunyai perkhidmatan BAS.MY supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat sama," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti BAS.MY Johor Bahru di Sutera Mall, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Loke berkata perkhidmatan tambahan BAS.MY Medik, iaitu van khas bagi membawa pesakit dialisis, Orang Kurang Upaya (OKU) dan pengguna kerusi roda akan mula dilaksanakan di Johor Bahru menjelang hujung tahun ini.
Katanya, perkhidmatan berasaskan permintaan itu merupakan sebahagian daripada syarat yang dikenakan kepada pengendali perkhidmatan bas bagi memastikan kemudahan mobiliti turut dinikmati golongan memerlukan.
"Dua van akan disediakan dan telah diubah suai bagi kegunaan pesakit, termasuk OKU serta pengguna kerusi roda. Van ini akan mengambil pesakit dari rumah untuk dibawa ke pusat dialisis, hospital atau klinik," katanya.
Beliau berkata tempahan perkhidmatan boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih atau panggilan telefon, bergantung pada keselesaan pengguna.
Sementara itu, Loke yang akan melakukan lawatan tapak ke projek Sistem Transit Rapid (RTS) hari ini bagi meninjau perkembangan dan memastikan kerja pembinaan berjalan mengikut jadual, berkata kadar tambang bagi Projek Transit Aliran Johor Bahru-Singapura (RTS Link) masih belum ditetapkan dan akan dimuktamadkan bersama dengan pihak operator sebelum operasi bermula.
"Lawatan ini penting supaya kita dapat memahami dengan lebih dekat status pelaksanaan dan melakukan tindakan awal sekiranya ada isu yang perlu diuruskan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


