KUALA LUMPUR: Harga purata hartanah subjualan (hartanah yang dijual semula) di Malaysia meningkat 4.8 peratus tahun ke tahun kepada RM545,059 pada suku pertama tahun ini, manakala harga purata di Kuala Lumpur berjaya melepasi paras RM1 juta.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IQI Kashif Ansari berkata harga purata rumah yang dijual semula di Malaysia meningkat hampir lima peratus sepanjang tahun lalu yang mencerminkan keyakinan pembeli terhadap pasaran itu.
“Permintaan terhadap rumah jual semula adalah paling kukuh pada suku pertama. Di Kuala Lumpur yang merupakan bandar terbesar untuk pasaran jual semula di negara ini, pembeli membayar secara purata 15 peratus lebih tinggi bagi rumah subjualan pada suku pertama 2026, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
“Harga purata bagi sebuah rumah subjualan di KL kini mencecah RM1.02 juta,” katanya dalam satu kenyataan.
IQI hari ini mengeluarkan Laporan Pasaran Subjualan Kediaman (Residential Subsale Market Report) bagi suku pertama tahun ini berdasarkan lebih daripada 230,000 jumlah transaksi yang direkodkan sejak 2018.
Kashif berkata data terkini menunjukkan hampir satu perempat daripada transaksi subjualan adalah untuk rumah yang berharga RM250,000 ke bawah dan kira-kira tujuh daripada sepuluh transaksi melibatkan rumah yang berharga RM500,000 ke bawah.
“Majoriti pembelian dilakukan oleh pembeli peringkat permulaan dan pasaran pertengahan. Itu merupakan berita baik,” tambah beliau.
Berdasarkan kepada prestasi mengikut negeri, beliau berkata Selangor yang merupakan pasaran subjualan terbesar di negara ini dari segi jumlah transaksi, didapati stabil dengan purata harga hampir tidak berubah berbanding tahun sebelumnya, iaitu pada RM559,935.
“Pulau Pinang dan Negeri Sembilan masing-masing menyaksikan penyusutan sederhana sebanyak dua peratus dan lima peratus, selaras dengan peralihan pasaran yang lebih luas ke arah titik harga peringkat permulaan yang sedang kita lihat di seluruh pasaran.
“Kini, Negeri Sembilan menggantikan Melaka sebagai pasaran yang paling mampu milik dalam kalangan lima negeri itu, dengan purata harga subjualan sebanyak RM340,207,” tambah beliau.
-- BERNAMA