KUALA LUMPUR: Kenaikan harga beberapa jenis sayur-sayuran dan santan kelapa segar mula mencetuskan kebimbangan terhadap tekanan kos bekalan makanan domestik, meskipun harga makanan terpilih secara keseluruhan masih berada dalam julat terkawal.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata, bagi tempoh 20 hingga 22 April, beberapa komponen barangan basah menunjukkan peningkatan ketara, khususnya dalam kategori sayur-sayuran dan bahan asas dapur.
Advertisement
Menurut beliau, harga sayur tertentu meningkat daripada RM6.06 sekilogram kepada RM6.51 sekilogram, manakala bayam hijau pula naik hampir lima peratus kepada RM5.59 sekilogram.
Lebih ketara, harga santan kelapa segar meningkat kepada RM16.41 sekilogram, sekali gus menjadi antara komoditi makanan yang mencatatkan kenaikan tertinggi dalam tempoh pemantauan berkenaan.
“Trend ini menunjukkan bahawa tekanan kos input dan logistik mula memberi isyarat awal mengenai rantaian bekalan makanan domestik.
“Pemantauan tidak boleh hanya dibuat di peringkat harga runcit, tetapi mesti bermula dari peringkat huluan seperti baja, diesel, tenaga, bahan mentah, pengeluaran, pengangkutan dan pengedaran,” katanya semasa sidang media taklimat krisis bekalan global hari ini.
Walaupun begitu, beliau menjelaskan harga makanan terpilih lain masih bergerak dalam trend terkawal dengan perubahan kurang daripada 10 peratus.
"Antara barangan yang mencatatkan kenaikan ialah ayam standard yang meningkat kepada RM9.70 sekilogram serta telur ayam gred A kepada RM3.93 bagi 10 biji.
"Dalam masa sama, beberapa komoditi lain menunjukkan penurunan harga termasuk daging lembu dan ikan kembung," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Akmal berkata kerajaan akan terus melaksanakan pemantauan rapi serta intervensi yang bersesuaian bagi mengurangkan kesan kenaikan kos kepada pengguna.
Menurutnya, fokus kerajaan ketika ini adalah memastikan kestabilan harga makanan dan menangani sebarang tekanan daripada kos input global yang boleh memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.