Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: BN-PN kuasai 24 kerusi, PH menang empat DUN - SPR

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keputusan rasmi itu menyaksikan BN memperoleh 21 kerusi, diikuti PN dengan tiga kerusi. - Astro AWANI
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keputusan rasmi itu menyaksikan BN memperoleh 21 kerusi, diikuti PN dengan tiga kerusi. - Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Barisan Nasional memenangi 21 kerusi, Perikatan Nasional tiga kerusi, dan Pakatan Harapan empat kerusi pada PRN Melaka ke-16.
  • Seramai 493,573 pengundi atau 71.77 peratus pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya tersebut.
  • Kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri Melaka ditandingi parti politik dan calon bebas pada 14 November 2026.
Advertisement

MELAKA: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menguasai 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi empat kerusi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keputusan rasmi itu menyaksikan BN memperoleh 21 kerusi, diikuti PN dengan tiga kerusi.

Menurutnya, sebanyak 493,573 pengundi atau 71.77 peratus daripada keseluruhan pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab pada PRN kali ini.

Advertisement

Jumlah itu merangkumi pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos.

“Sehingga 11.15 malam, 14 November 2026, berikut adalah keputusan penuh Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Melaka ke-16, iaitu Barisan Nasional 21 kerusi, Pakatan Harapan empat kerusi dan Perikatan Nasional tiga kerusi,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika sidang media keputusan rasmi PRN Melaka, di Pejabat Pilihanraya Melaka pada Sabtu.

Jelasnya, proses pilihan raya yang berlangsung pada 14 November itu melibatkan pertandingan di kesemua 28 kerusi DUN yang ditandingi parti politik dan calon bebas.

Dalam pada itu, Ramlan merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, pihak keselamatan, petugas pilihan raya, media serta sukarelawan yang membantu memastikan kelancaran PRN Melaka ke-16.

Pada PRN Melaka ke-16, Barisan Nasional (BN) berjaya menguasai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi, menjadikan keseluruhan 24 kerusi dikuasai gabungan BN-PN.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi empat kerusi iaitu DUN Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

Bagi BN-PN, 24 kerusi yang dimenangi ialah Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Asahan, Sungai Udang, Pantai Kundor, Paya Rumput, Klebang, Pengkalan Batu, Bukit Katil, Ayer Molek, Duyong, Telok Mas, Bemban, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.
 

Must Watch Video

Advertisement