KUALA LUMPUR : Harga tarif elektrik bagi pengguna domestik di Semenanjung untuk tempoh kawal selia bermula 1 Februari 2022 hingga 31 Disember 2024 akan dikekalkan di bawah mekanisme Incentive-Based Regulation (BRI).

Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam satu kenyataan memaklumkan, kadar tarif ini telah digunakan sejak 1 Januari 2014 dan keputusan itu turut diguna pakai kepada pengguna komersial dan industri.

“Bagi tempoh 1 Julai 2021 hingga 31 Disember 2021, berlaku peningkatan dalam kos bahan api dan kos penjanaan lain sebanyak RM1.67 bilion, ekoran daripada kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran sehingga mencecah AS$200 per tan.

“Pemberian rebat 2 sen/kWj dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan. Untuk itu, tiada kenaikan tarif elektrik kepada penggunapengguna domestik di Semenanjung.

"Selain itu, pengenaan surcaj 3.70 sen/kWj kepada semua pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri,” jelas kenyataan itu.

BACA: Harga arang batu dunia akan pengaruhi kadar baharu tarif elektrik - Pakar 

BACA: Kadar tarif baharu elektrik dijamin tidak bebankan rakyat - Takiyuddin 

Malah, bagi mengekalkan pemberian rebat dan tanggungan kos surcaj ICPT sepenuhnya kepada semua pengguna domestik, kerajaan memperuntukkan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos tersebut.

Selain itu, Suruhanjaya Tenaga menyarankan bahawa pengguna boleh memanfaatkan Program Net Energy Metering (NEM) bagi membantu mengurangkan kos bil elektrik.

"Pengguna turut digalakkan untuk melaksanakan langkah-langkah penggunaan elektrik dengan cekap iaitu dengan melaksanakan audit penggunaan tenaga dengan cara memantau dan menganalisa penggunaan elektrik serta mengenal pasti peralatan, proses dan sistem yang boleh ditambah baik.

"Selain itu, pengguna boleh membeli peralatan elektrik yang mempunyai penarafan 5-Bintang yang memberikan lebih banyak penjimatan elektrik.

“Buat masa ini, pengguna boleh menebus e-rebat bernilai sehingga maksimum RM400 bagi pembelian peralatan elektrik cekap tenaga berlabel 4 atau 5 Bintang oleh Suruhanjaya Tenaga di bawah Program SAVE 3.0 yang dilancarkan oleh Kerajaan pada 7 Januari 2022 seperti penyaman udara, peti sejuk, periuk nasi, ketuhar gelombang mikro, televisyen dan mesin basuh," jelas kenyataan itu. 

Rakyat Malaysia juga perlu memastikan suis ditutup apabila tidak digunakan bagi mengelakkan pembaziran elektrik dan menggunakan peralatan elektrik dengan lebih cekap.

“Contohnya menetapkan suhu penghawa dingin di antara 24 darjah celsius sehingga 26 darjah celsius dan melaksanakan penyelenggaraan secara berkala,” tambah Suruhanjaya Tenaga.