MALAYSIA
Hari Kebangsaan 2025: Orang ramai teruja lihat aset negara, hargai jasa barisan hadapan

Suasana di Dataran Putrajaya dimeriahkan dengan kehadiran ribuan pengunjung yang tidak melepaskan peluang meraikan ulang tahun kemerdekaan negara bersama barisan hadapan. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Hari Kebangsaan 2025 menjadi peluang keemasan kepada masyarakat awam untuk melihat sendiri aset pertahanan negara yang dipamerkan pada sambutan penuh warna-warni di sini, hari ini.
Suasana di Dataran Putrajaya dimeriahkan dengan kehadiran ribuan pengunjung yang tidak melepaskan peluang meraikan ulang tahun kemerdekaan negara bersama barisan hadapan yang mempertahankan keamanan tanah air.
Bagi sesetengah hadirin, kesempatan menyaksikan perarakan dan pertunjukan formasi beruniform merupakan simbolik penghargaan kepada wira negara yang sentiasa menjaga kedaulatan Malaysia.
Seorang kakitangan swasta, Siti Mastura Manja, meluahkan keterujaannya dapat menyaksikan persembahan itu secara dekat selepas hanya menonton di kaca televisyen sebelum ini.“Perasaan saya teruja, memang hendak tengok persembahan perarakan. Memang menarik dan excited sebab semua unit beruniform ada. Kita mengenang kembali wira-wira negara yang menjaga keamanan kita,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Norliza Zakaria, turut hadir bersama keluarga kerana mahu memberi pengalaman berharga kepada anak-anaknya menyaksikan barisan perarakan secara langsung.
“Kalau masa kecil kita seronok tengok dalam TV, kali ini saya bawa mereka untuk merasai sendiri pengalaman. Ada banyak unit beruniform selain yang mereka kenali, jadi ini boleh menyemai semangat untuk menyertai sambutan merdeka,” ujarnya.
Bagi seorang akauntan, Pang Pei Yee, kehadiran pelbagai kaum pada sambutan ini menambah semangat perpaduan yang cukup bermakna.
“Saya rasa bila semua bangsa ada di sini, memang sangat passionate dan patriotic. Semua orang patut datang sekurang-kurangnya sekali kerana perasaan satu Malaysia memang hebat,” katanya.
Peniaga, Thevindran Thambusamy, pula mengakui kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan menggambarkan keharmonian yang dinikmati rakyat pelbagai kaum di Malaysia.
“Rasa gembira biarlah sampai bila-bila. Semua kaum happy tak kira bangsa, bukan saja di sini tetapi di mana-mana pun,” katanya.
Perarakan pada hari ini melibatkan 81 kontinjen dan 14,010 orang peserta, 437 aset, termasuk 116 aset haiwan, 78 kenderaan tempatan dan kenderaan elektrik pemasangan tempatan serta diiringi 21 kumpulan pancaragam.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami