Skip to main content

Malaysia

Hari Kebangsaan: Deruman jet pejuang, helikopter gegarkan langit Putrajaya

Sumber: BERNAMA
Deruman empat Sukhoi SU-30MKM, empat F/A-18D Hornet dan tiga BAE Hawk 208 bergema di ruang udara Putrajaya, menghasilkan detik yang bukan sahaja menghiburkan, malah memperlihatkan keupayaan dan kesiapsiagaan aset udara negara. --fotoBERNAMA
Advertisement

PUTRAJAYA: Deruman enjin jet pejuang yang membelah ruang udara Putrajaya pagi ini seakan-akan menukar langit pusat pentadbiran itu menjadi pentas aksi penuh debaran, sekali gus memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-69.

Satu demi satu pesawat pejuang muncul sebelum melakukan lintasan dan formasi di ruang udara Dataran Putrajaya, mencuri perhatian ribuan pengunjung yang hadir menyaksikan sambutan berkenaan.

Lebih mencuri tumpuan apabila Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris sendiri berada di kokpit pesawat Sukhoi SU-30MKM, mengetuai pertunjukan udara untuk tahun kedua berturut-turut.

Deruman empat Sukhoi SU-30MKM, empat F/A-18D Hornet dan tiga BAE Hawk 208 bergema di ruang udara Putrajaya, menghasilkan detik yang bukan sahaja menghiburkan, malah memperlihatkan keupayaan dan kesiapsiagaan aset udara negara.

Setiap lintasan pesawat turut dihidupkan dengan komentar Mejar Patrick Dinnesh, Mejar Neny Suhaida Ab Suki serta Kapten Muhammad Iqbal Nasrudin, yang menerangkan aksi dan formasi pesawat kepada penonton, sekali gus menambahkan debaran dan keterujaan sepanjang pertunjukan berlangsung.

Pertunjukan selama 10 minit itu bermula pada 9.30 pagi dengan beberapa formasi udara yang dirancang khusus, termasuk Kite Formation, Diamond Formation, Delta Formation dan Victory Combine.

Deruman pesawat tempur kemudian disusuli dengan kemunculan pesawat pengangkut C130H Hercules, A400M Atlas dan CN235, memperlihatkan keupayaan TUDM dalam melaksanakan peranan pengangkutan serta sokongan logistik.

Tidak kurang menarik perhatian ialah kemunculan aset helikopter, termasuk EC725 dan AW139 milik TUDM, yang terbang dalam formasi bersama-sama aset daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Polis Diraja Malaysia.

Bagi pengunjung di Dataran Putrajaya, pertunjukan itu menjadi antara detik yang paling dinanti-nantikan, dengan setiap lintasan pesawat disambut dengan sorakan dan pandangan yang tertumpu ke langit.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement