KUALA LUMPUR: Konsep Keluarga Malaysia dapat dimekarkan dengan sambutan bersama Hari Malaysia pada 16 September ini oleh setiap lapisan rakyat di seluruh negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, ketibaan ulang tahun hari bersejarah itu pada ketika negara sedang bangkit semula dari pandemik COVID-19, adalah tepat pada masanya.

Walaupun sambutan rasmi peringkat kebangsaan tahun ini akan diadakan di Sabah, beliau mengajak seluruh rakyat turut menganjurkan aktiviti sambutan tersendiri di negeri, daerah dan komuniti masing-masing.

“Ia supaya erti, roh daripada sambutan Hari Malaysia itu memberi makna yang benar-benar meningkatkan semangat patriotisme, kesedaran, kecintaan, rasa bangga kita kepada negara.

“Sebab itu saya merasakan konsep Keluarga Malaysia ini sangat tepat pada masanya dengan sambutan yang kita adakan.

"Kerana, ini membolehkan kita menjuruskan tumpuan pemikiran, kefahaman dan juga sistem nilai kepada satu sistem nilai nasional iaitu memupuk dan membentuk semangat kekeluargaan Malaysia, supaya semua rasa dekat,” katanya.

Annuar berkata demikian pada program Agenda Awani terbitan Astro Awani, malam tadi, bertajuk "Hari Malaysia, Keluarga Malaysia". 

Jelas beliau, tiada perbezaan yang patut menjadi pemisah atau punca keterasingan mahupun persengketaan apabila seluruh rakyat Malaysia berasa benar-benar bagai satu keluarga.

Ujarnya, sambutan Hari Malaysia wajar menjadi waktu memperbaharui iltizam supaya nilai murni sedemikian dapat dipupuk terutamanya untuk generasi muda hari ini.

“Kalau keluarga itu bersatu padu, ada sistem nilai yang baik, tinggi muafakatnya. Kata orang, cubit paha kanan paha kiri terasa.

"Ada semangat prihatin menjaga satu sama lain, ada nilai hormat antara satu sama lain, ia boleh diterjemahkan dalam pembinaan negara bangsa.

“Ini boleh menjadi satu nilai yang cukup kuat untuk menjadikan negara kita sebuah negara yang lebih baik, insya-Allah,” tambahnya

Annuar tampil dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar pada Rabu. Tonton di sini:

Hari Malaysia: Masa yang tepat untuk pupuk semangat Keluarga Malaysia - Annuar Musa

Agenda AWANI: Hari Malaysia, Keluarga Malaysia