TUMPUAN minggu ini terarah kepada sambutan Hari Raya Aidiladha yang disambut umat Islam dalam suasana sederhana buat kedua kalinya akibat pandemik COVID-19 esok.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan solat sunat Aidiladha dan ibadah korban adalah dibenarkan sempena Hari Raya Aidiladha kali ini bagi negeri-negeri di Fasa 1 dan Fasa 2.

Pada masa sama, takbir raya di masjid dan surau dibenarkan, namun takbir dari rumah ke rumah adalah tidak dibenarkan.

Menurut MKN, ibadah korban bagi negeri-negeri Fasa 1 dan Fasa 2 dibenarkan mengikut ketetapan oleh pihak berkuasa agama negeri dan pihak-pihak berkaitan dengan penjarakan fizikal dan pematuhan.

Selain itu, program ziarah raya, ziarah tanah perkuburan dan majlis jamuan atau rumah terbuka pula tidak dibenarkan

MKN berkata, bagi solat sunat Aidiladha pula, setiap masjid dan surau yang dibenarkan perlu menyediakan kaunter masuk bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan dan rekod kehadiran jemaah manakala, pemakaian pelitup muka diwajibkan.

Pihak masjid dan surau juga diminta supaya kerap melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitarnya termasuk tandas dan ruang wuduk, manakala penggunaan tandas perlu dihadkan mengikut jumlah bilik tandas yang ada pada satu satu masa.

Masjid dan surau hendaklah mempunyai petugas yang mencukupi bagi membantu kawalan Jemaah

Pada Sabtu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran supaya masyarakat mengambil iktibar dan tidak mengulangi sikap tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan wujudnya kluster perayaan dan rentas negeri akibat penularan COVID-19 seperti Jun lalu.

Katanya, dalam tempoh 1 Jun hingga 16 Julai sahaja, sebanyak 1,010 kes positif COVID-19 dilaporkan dalam 21 kluster rentas negeri iaitu daripada 5,681 individu yang disaring.

Kluster-kluster ini didapati membabitkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan sambutan perayaan, mengunjungi ahli keluarga, menghadiri majlis pengebumian serta atas urusan kerja

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 10 Jun lalu turut pernah melaporkan mengesan 60 kluster perayaan yang berpunca daripada sambutan Aidilfitri dan Hari Gawai,

Daripada jumlah itu, 58 kluster membabitkan sambutan Aidilfitri, menjadikannya kluster tertinggi, manakala bakinya adalah Hari Gawai.