SAMBUTAN Hari Wilayah Persekutuan setiap tahun adalah manifestasi peringatan peristiwa penubuhan Wilayah Persekutuan di Malaysia.

Setelah hampir lima dekad penubuhan Wilayah Persekutuan yang bermula dengan Kuala Lumpur pada tahun 1974, pelbagai pencapaian pembangunan telah dikecapi terutama dari aspek ekonomi dan sosial.

Perangkaan semasa menunjukkan Kuala Lumpur dan Putrajaya menyumbang 16.2% kepada KDNK Malaysia tahun 2019, manakala 0.5% bagi Labuan. Perangkaan pendapatan per kapita pula menunjukkan Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan RM129,472 pada tahun 2019, berbanding Labuan yang merekodkan RM77,798.

Namun begitu, perangkaan juga menunjukkan tiga jurang pembangunan ekonomi dan sosial yang masih wujud di antara ketiga-tiga wilayah ini.

Pertama, penggunaan tenaga kerja di Labuan dilihat kurang cekap disebabkan kadar pengangguran yang direkodkan sekitar 6.2%, berbanding Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing menunjukkan kadar penggangguran kurang daripada 3.0%.

Kedua, walaupun kadar pengagihan pendapatan antara ketiga-tiga wilayah lebih baik berbanding purata Malaysia, tetapi kadar kemiskinan mutlak di Labuan masih menunjukkan peratusan yang lebih tinggi iaitu sebanyak 3.1% berbanding Kuala Lumpur (0.2%) dan Putrajaya (0.4%).

Ketiga, jurang digital masih wujud di dalam Wilayah Persekutuan. Berdasarkan data penggunaan ICT, kadar penembusan ICT adalah tinggi di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, selain penggunaan internet oleh individu yang melebihi 93%. Akan tetapi, dalam suasana pandemik COVID-19 ketika ini, rakyat di Wilayah Persekutuan dilihat masih menghadapi cabaran digital untuk pelaksanaan pembelajaran secara maya di rumah.

Contohnya di Labuan, data menunjukkan terdapat 78.6% penduduk yang mempunyai kemudahan komputer di rumah, berbanding lebih 86% di Kuala Lumpur dan Putrajaya.  Kekurangan sokongan peralatan digital boleh merencatkan usaha untuk meneruskan pembelajaran secara maya ini.

Ketiga-tiga dimensi jurang yang dinyatakan di atas merupakan sebahagian daripada ruang lompong yang masih wujud di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan. Jika tidak diatasi segera, jurang antara wilayah akan terus membesar dan usaha pemulihan akan memakan kos dan masa yang lebih lama.

Keupayaan ekonomi boleh terus diperkasakan di setiap Wilayah Persekutuan mengikut kapasiti sumber dan kelebihan yang sedia ada.

Contohnya, Labuan boleh dimajukan sebagai pusat ekonomi maritim dan eko-pelancongan di rantau Asia. Malah, lokasi yang strategik berhampiran Sabah dan Sarawak boleh memberi kesan limpahan kepada seluruh kepulauan Borneo itu.



* Prof Mohd Yusof Saari merupakan Ketua Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS, PERKESO.

** Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM. Beliau juga adalah Ahli Ekonomi Kanan di Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA), PERKESO.

*** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI