KOTA BHARU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menyelamatkan seekor harimau belang betina seberat 80 kilogram yang cedera terkena jerat pemburu haram berhampiran Ladang Metro NTT, Pos Blau di Gua Musang, semalam.

Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata terdahulu, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada kakitangan ladang berkenaan.

Beliau berkata operasi menyelamatkan Harimau Malaya itu dilakukan oleh kakitangan Bahagian Konservasi Hidupan Liar, Ibu Pejabat Perhilitan Kuala Lumpur dan Kelantan serta Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan dan Pusat Konservasi Harimau Kebangsaan.

"Lokasi kedudukan harimau itu sukar diakses kerana terletak di kawasan berkecerunan tinggi di tebing sungai selain hujan lebat menyebabkan pihak kami menggunakan motobot bagi meninjau keadaan haiwan liar itu.

"Operasi menyelamatkan harimau itu dilakukan pada 10.30 pagi setelah maklumat kedudukan dan keadaan haiwan liar berkenaan diperoleh dengan jelas melalui penggunaan dron. Ubat pelali telah digunakan untuk menidurkan sementara haiwan liar itu bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mohamad Hafid berkata siasatan mendapati harimau terbabit telah terkena jerat pada pergelangan kaki kiri hadapan dan rawatan pemeriksaan fizikal serta pengambilan sampel darah telah dilakukan.

"Operasi itu mengambil masa tiga jam dengan melibatkan 21 kakitangan dan harimau itu dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata Seksyen 29 (1) dalam Akta A1646 telah menyatakan mana-mana individu atau kumpulan tidak boleh memiliki,menyimpan, memasang, meletakkan atau menggunakan mana-mana jerat kecuali bagi maksud menjalankan penyelidikan atau kajian ke atas mana-mana hidupan liar.

"Mana-mana individu atau pihak yang melanggar (akta itu) boleh disabitkan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000 dan dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun," katanya.

-- BERNAMA