Skuad bola sepak bawah 23 (B-23) kebangsaan memiliki peluang cerah untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Thailand selepas diundi dalam Kumpulan J bersama-sama China, Laos dan Filipina.

AFC melalui laman web rasminya, www.the-afc.com, Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi Kumpulan J itu, yang dijadualkan berlangsung pada Mac tahun depan.

Pasukan China dilihat bakal menjadi pesaing utama buat skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee dalam kumpulan berkenaan namun kehebatan Filipina dan Laos tidak boleh diperkecilkan.

Sementara itu, juara bertahan Uzbekistan diundi dalam Kumpulan F bersama Tajikistan, Pakistan dan India.

Pasukan Vietnam yang muncul naib juara pada edisi 2018 pula berada dalam Kumpulan K bersama Thailand, Indonesia dan Brunei.

-- BERNAMA