Skip to main content

Malaysia

Harimau Malaya betina dilepas ke Taman Negara di Tasik Kenyir

Usaha pemuliharaan hidupan liar di Tasik Kenyir terus diberi perhatian menerusi pelepasan Harimau Malaya ke habitat semula jadi oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), YBhg. Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, hari ini.
NRES memaklumkan program itu adalah antara langkah strategik Perhilitan dalam memperkukuh usaha pemuliharaan spesies Harimau Malaya dan Gajah Asia. - Gambar Facebook NRES
Advertisement

KUALA TERENGGANU: Seekor Harimau Malaya betina yang ditangkap di Kampung Choh, Sungai Siput, Perak pada 22 Julai lepas berjaya dilepaskan ke habitat semula jadi secara saintifik dan terancang di Taman Negara Terengganu, Tasik Kenyir, dekat Hulu Terengganu semalam.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan hari ini memaklumkan haiwan yang dinamakan Yong Choh dianggarkan berusia tujuh tahun itu, telah melalui proses rehabilitasi di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak selepas diselamatkan daripada konflik manusia dan hidupan liar.

Menurut kenyataan itu, haiwan liar berkenaan selesai menjalani pemeriksaan veterinar, persampelan darah dan pemeriksaan penyakit serta disahkan sihat oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia untuk dilepaskan ke habitat semula jadi.

"Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup telah menyempurnakan Majlis Perasmian Tongkang Pemindahan Hidupan Liar dan Pelepasan Hidupan Liar di Taman Negara Terengganu di Tasik Kenyir semalam.

“Program ini mencatat detik bersejarah apabila buat pertama kalinya seekor Harimau Malaya liar yang dinamakan Yong Choh, yang diselamatkan daripada konflik manusia dan hidupan liar dilepaskan semula ke habitat semula jadinya secara saintifik serta terancang,” menurut kenyataan itu.

NRES turut memaklumkan program itu adalah antara langkah strategik Perhilitan dalam memperkukuh usaha pemuliharaan spesies Harimau Malaya dan Gajah Asia.

Ia bukan sahaja mampu meningkatkan populasi hidupan liar di habitat asal, malah mengurangkan konflik antara manusia dengan hidupan berkenaan, selain menambah kepelbagaian genetik populasi haiwan liar yang dilepaskan.

Antara hidupan liar yang dilepaskan melalui program itu termasuk harimau kumbang, rusa sambar, kijang, tenggiling, musang pandan, pelanduk dan napuh. Selain itu, gajah yang terlibat dengan konflik antara manusia turut dilepaskan semula ke habitat semula jadi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement