Dalam usaha untuk merealisasikan majoriti 2/3 pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, jentera Barisan Nasional (BN) harus meningkatkan usaha mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, masalah dalaman pembangkang yang disifatkan masih belum selesai menambah keyakinan kemenangan itu bakal menjadi kenyataan.

''Saya tidak mahu jentera kita terlampau yakin kerana pembangkang ini ada banyak strategi untuk menggagalkan usaha kita untuk 2/3.

''Masalah dalaman mereka jauh lebih banyak dari kita, jadi kita perlu kuatkan jentera dalam memastikan kemenangan besar menjadi kenyataan,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas majlis perasmian dan pecah tanah SJKC Chung Hwa No 2 di Kuching. Sekolah yang ditubuhkan pada tahun 1945 itu kini mempunyai seramai 1113 orang pelajar dan 49 tenaga pengajar.

Sementara itu, di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Kampung Semeba, Jalan Stephen Yong Najib juga meminta rakyat membuat penilaian bijak antara transformasi yang telah dilakukan oleh kerajaan dengan reformasi yang dilaungkan pembangkang.

Beliau berkata dalam tempoh empat tahun, kerajaan Barisan Nasional (BN) begitu gigih membawa transformasi yang cukup menyeluruh sama ada transformasi kerajaan, ekonomi, politik mahupun sosial.

Katanya program transformasi kerajaan akan menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020 manakala reformasi pembangkang ajar rakyat berdemonstrasi.

"Transformasi tidak merujuk kepada angka besar saja, saya tidak mahu orang kata dia tidak mendapat faedah daripada transformasi kerajaan, sebab itu daripada awal lagi ditetapkan transformasi mesti membawa kesan dan kebaikan kepada rakyat biasa supaya rakyat dapat merasai bahawa bila bercakap tentang transformasi, kita sebenarnya menjana kekayaaan negara untuk kebaikan rakyat," katanya.

Sebelum itu di SERATOK, Najib menyatakan bahawa slogan 'Ubah' yang dimain pembangkang dilihat hanya cuba mengubah persepsi positif rakyat kepada jasa kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.

Sehubungan itu rakyat harus tidak semudah itu terpengaruh dengan frasa yang disifatkan hanya umpan palsu pembangkang untuk meraih undi.

''Rakyat di empat negeri pembangkang sudah rasa tertipu dengan frasa 'Ubah' ini. Kita tidak mahu rakyat di negeri lain turut terpedaya dengan frasa ini.

ubah, logo

''Seperti PKR yang sudah menipu rakyat di Selangor,kita tidak mahu rakyat Sarawak menjadi mangsa seterusnya,'' katanya.

Semasa di Seratok Najib juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM8.8 juta untuk penambahbaikan sistem perparitan di Saratok.

Lebih 10,000 penduduk di kawasan Saratok, Awik dan Krian mengeluh kerana kesukaran mendapat bekalan air bersih di kawasan mereka.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib mengumumkan penambahan sumbangan sekali ganda elaun kepada badan kebajikan khas Saratok

Ia susulan pengumuman sumbangan elaun wakil rakyat calon Barisan Nasional (BN) Saratok Tan Sri William Mawan Ikom sekiranya menang di kerusi itu.

Kerusi P205 Saratok menampilkan pertandingan tiga penjuru antara Mawan dengan calon PKR,Ali Anak Biju dan Bebas, Datuk Rosli Lek.

Ujar Najib, rekod parti dalam membangunkan Sabah dan Sarawak terutama di luar bandar menjadi jaminan kepada rakyat untuk terus memilih (BN).