Telah menjadi fitrah bagi mereka jika tidak beraya di kampung halaman tercinta maka wad yang dipenuhi pesakitlah yang bakal menanti di hari lebaran.

Bagi setiap jururawat yang bertugas ditemani oleh rakan setugas dan pesakit pada hari raya Aidilfitri sudah menjadi kebiasaan dan bukanlah asing.

Namun tidak ramai yang mampu menyelami perasaan mereka,di sebalik rasa sedih dan rindu kepada kaum keluarga di kampung halaman mereka tetap melontarkan senyuman dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit mereka sebagai amanah yang terpikul dibahu.

Ia senang diungkap namun bukan mudah untuk dilaksanakan.

Bagi beberapa jururawat Hospital Sungai Buloh yang kami temui ada beberapa rutin yang biasanya dilakukan sekiranya terpaksa menyambut lebaran di wad hospital.

Bagi sekumpulan warga wad bersalin di hospital ini,mereka kebiasaanya akan membawa makanan yang dimasak masing-masing di rumah pada malam raya untuk dijamu bersama rakan-rakan yang lain sebagai cara untuk sama-sama meraikan Aidilfitri.

Walaupun tentunya mungkin jauh berbeza suasana jika di kampung, namun ia cukup memberi makna kepada mereka kerana rakan setugas ini ibarat pengganti keluarga ketika bertugas di tempat kerja.

“Biasanya kita berpakatlah pada malam raya tu untuk masak. Macam yang ni masak makanan ni,saya pula masak makanan lain.Jadi pagi tu bila masuk wad kita sama-sama buka makanan dan kami jamu selera bersama, kata jururawat Shafini Hamad yang bekerja syif pagi di wad bersalin Hospital Sungai Buloh.

Bagi rakan setugasnya pula, Noraini Azmah Mohd Daud, kesedihan tentunya tidak dapat dielakkan namun peranan rakan-rakan setugas cukup mengubati kerinduan berhari raya di kampung halaman.

“Yalah, memanglah kalau boleh kitapun nak raya kat kampung,tapi ini tanggungjawab kita. Kita kenalah redha.Maka kita kena ikutlah sistem penggiliran,maknanya kalau dah cuti tahun lepas tu maknanya kita kena kerjalah tahun ni, ” ujar beliau.

Bagi Ketua Jururawat Shahila Rosliza Mohamed Nor, bagi setiap jururawat, perkara ini sudah sedia maklum dan ia bukanlah isu.

 Petugas di Hospital Sungai Buloh yang terpaksa bekerja di hari raya Aildilfitri ceria menerima kunjungan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad
Malah setiap jururawat itu sudah faham bahawa perkhidmatan mereka adalah pengorbanan dan tanggungjawab yang dituntut dan pesakit mereka adalah keutamaan mereka di sebalik rasa sedih dan rindu yang terpendam.

“Setiap hari raya kita akan bagi peluang kepada yang belum balik tahun sebelumnya untuk beraya bersama keluarga mereka.Kalau di wad bersalin Sungai Buloh ni seramai enam staf akan bertugas bagi satu syif tugas.Ia adalah kelaziman.Mereka ini akan diberi peluang untuk berhari raya di kampung halaman selepas hari raya ketiga ataupun keempat, '' jelasnya.

Bagaimanapun kesedihan mereka ini sedikit terubat apabila Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkifli Ahmad yang meluangkan masa menziarahi petugas dan pesakit di wad kecemasan tersebut petang Rabu.