MALAYSIA
Hatimurni rakan strategik institusi agama dan ibu ayah dalam pendidikan Islam

Seramai 61 pelajar cemerlang UPKK 2025 diraikan dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang yang dianjurkan bersempena Konvensyen Skor A UPKK 2025 anjuran Tijarah Hatimurni di Kuala Lumpur. - Gambar Hatimurni
KUALA LUMPUR: Dalam usaha memperkukuh asas pendidikan agama sejak peringkat rendah, Hatimurni sebuah pusat pendidikan Islam swasta telah menganjurkan Konvensyen Skor A UPKK 2025 yang berlangsung di Menara Felda, Kuala Lumpur, dengan penyertaan lebih 1,000 ibu bapa dan murid.
Konvensyen ini memberi tumpuan kepada pendedahan mendalam mengenai Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), sekali gus memperjelas hala tuju dan kepentingan peperiksaan berkenaan yang diselia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurut Pengasas dan Ketua Pengarah Eksekutif Hatimurni, Ustazah Siti Khadijah Mohni, penglibatan institusi swasta amat penting dalam menyokong dasar kerajaan serta memperkasakan pendidikan agama generasi muda.
“Kita beri pendedahan kepada ibu ayah tentang syarat untuk mengambil UPKK, umur anak-anak yang layak serta ke mana hala tuju sijil ini. Walaupun baru Tahun Lima, mereka sudah menduduki peperiksaan penting. Tapi UPKK sebenarnya penanda aras penguasaan pendidikan agama mereka,” katanya.Tambah beliau, pendekatan menyeluruh melalui modul khas, sesi forum, dan kerjasama strategik bersama agensi agama adalah sangat penting bagi memastikan ibu bapa benar-benar memahami peranan mereka dalam menyokong kecemerlangan anak-anak dalam pendidikan KAFA.
Siti turut menegaskan bahawa tanggungjawab mendidik bukan semata-mata terletak di bahu kerajaan, malah memerlukan kerjasama erat antara komuniti dan institusi pendidikan swasta.
“Kalau kita nak jayakan generasi yang celik agama dan berakhlak mulia, semua pihak perlu mainkan peranan – kerajaan, swasta dan ibu bapa. Di Hatimurni, kami bantu uruskan perjalanan anak-anak dari sekolah kebangsaan ke KAFA supaya pembelajaran agama mereka berjalan lancar dan ibu bapa tidak terbeban,” ujarnya.

Datuk Mohd Na’im Mokhtar ketika menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen Skor A UPKK 2025 di Menara Felda, Kuala Lumpur. - Gambar Hatimurni
Majlis turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Naim Mokhtar, yang menyatakan komitmen kerajaan dalam mendukung usaha pendidikan Islam seperti yang dilaksanakan oleh Hatimurni.
“Kita akan bekerjasama dan memberi segala bantuan yang termampu untuk memastikan hasrat dan objektif kita bersama tercapai – melahirkan generasi terbaik yang bukan hanya cemerlang dalam akademik, tetapi juga seimbang dari sudut akhlak dan kefahaman agama,” katanya.
Selain forum interaktif dan pameran pendidikan, konvensyen ini turut menyaksikan penyampaian penghargaan kepada 61 pelajar cemerlang UPKK 2025, sebagai pengiktirafan atas pencapaian luar biasa mereka dalam pendidikan agama.

Konvensyen ini sekali gus mengukuhkan peranan Hatimurni sebagai Pusat Pendidikan Islam Swasta serta rakan strategik kepada institusi agama dan ibu ayah dalam membentuk generasi berilmu, berakhlak dan berwawasan. - Gambar Hatimurni
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami