PUTRAJAYA: Ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) diseru agar sentiasa menghayati erti kemerdekaan dan menghargai pengorbanan wira yang memperjuangkan kebebasan tanah air.

Penaung Puspanita Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata nilai kemerdekaan negara bukanlah murah kerana ramai pejuang yang berkorban nyawa dalam usaha memerdekakan tanah air.

"Merdeka bukan bermaksud kibar Jalur Gemilang sahaja tetapi kita perlu tahu 'harga' untuk negara kita merdeka ini.

"Kalau kita tidak merdeka, kita dikawal dan dikongkong, tapi sekarang kita bebas dan (perlu) hargai nikmat merdeka ini," kata isteri perdana menteri itu kepada pemberita selepas merasmikan Program Merdeka MADANI@Puspanita di sini semalam.

Program Merdeka MADANI@Puspanita merupakan aktiviti bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dalam kalangan ahli dan turut dihadiri oleh Yang Dipertua Puspanita Puan Sri Norizam Che Mohd Nor.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, Puspanita turut menghulurkan sumbangan kebajikan kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan persatuan berkaitan kebudayaan dan tradisional pada program tersebut.

Turut diadakan majlis penyampaian hadiah bagi pertandingan berbalas pantun merdeka, pertandingan nyanyian bintang patriotik dan pertandingan Si Cilik Merdeka.

-- BERNAMA