Skip to main content

Malaysia

Henti jadikan video buli bahan tular - Bukit Aman

Sumber: BERNAMA
Kumar berkata, setiap kejadian buli sebenarnya boleh dielakkan sekiranya semua pihak lebih prihatin dan memahami keadaan serta perubahan yang dialami anak-anak. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menjadikan rakaman kejadian buli sebagai bahan untuk ditularkan kerana tindakan itu bukan sahaja menjejaskan siasatan pihak berkuasa malah memberi kesan trauma berpanjangan kepada mangsa dan keluarga.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, masyarakat kini dilihat lebih cenderung merakam sesuatu kejadian dan menyebarkannya, berbanding tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

Katanya, tindakan merakam dan menularkan kejadian atas kepentingan peribadi atau untuk meraih perhatian perlu dihentikan kerana isu buli bukan bahan hiburan atau gurauan.

“Buli bukan gurauan. Masyarakat perlu menerima hakikat yang isu buli adalah satu perkara yang sangat serius.

“Kita terlalu ghairah untuk merakam adegan kejadian, tidak kira buli, kemalangan dan sebagainya, tetapi kita terlupa menyalurkan maklumat kepada agensi berkaitan yang boleh membantu dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran trailer filem advokasi Is Not A Joke di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini pada Selasa.

Mangulas lanjut, Kumar berkata, masyarakat perlu lebih peka, berani bersuara dan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa apabila berhadapan atau menyaksikan sebarang bentuk buli termasuk buli siber.

Menurutnya, isu buli juga tidak boleh diletakkan sebagai tanggungjawab polis semata-mata kerana ia memerlukan kerjasama ibu bapa, institusi pendidikan, masyarakat dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Di sinilah kita mengamalkan ‘jaga tepi kain orang’ dan ia tidak salah dalam aspek ini.

“Hari ini perkara ini berlaku kepada anak yang kita tidak kenal, esok mungkin anak yang kita kenal dan lusa mungkin darah daging kita sendiri.

“Adakah kita mahu tunggu sehingga tahap itu sebelum mengambil tindakan?,” katanya.

Beliau berkata, setiap kejadian buli sebenarnya boleh dielakkan sekiranya semua pihak lebih prihatin dan memahami keadaan serta perubahan yang dialami anak-anak.

“Semua elemen atau kes buli adalah kes yang boleh dielakkan. Cuma kita perlu lebih prihatin dan memahami keadaan anak-anak kita serta situasi yang mereka alami.

“Saya rasa kita sama-sama boleh mengelakkan perkara ini daripada berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Kumar berkata, filem Is Not A Joke bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi medium advokasi bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu buli dan kepentingan mengambil tindakan.

Katanya, filem itu hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah melalui Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) bersama Dream Film Sdn Bhd.

Kumar yang turut membuat penampilan kecil dalam filem berkenaan berkata, usaha itu membuktikan kepakaran pihak polis dan industri kreatif boleh digabungkan bagi menyampaikan mesej pencegahan jenayah secara lebih menarik dan berkesan.

Beliau turut menghargai pihak Dream Film kerana memilih JSJ melalui D11 sebagai rakan strategik dalam penerbitan filem berkenaan.

Katanya, beberapa unit polis termasuk D7, D10, D11, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan Pulapol Kuala Lumpur turut terbabit dalam produksi itu, antaranya memberi nasihat teknikal, penyelarasan, berlakon sebagai pelakon tambahan serta menyediakan lokasi.

Filem berkenaan dijangka dilancarkan pada cuti sekolah Krismas atau Tahun Baharu Cina, dengan versi bahasa Mandarin serta sarikata bahasa Melayu.

Kumar berkata, beliau berharap filem berkenaan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu buli serta menggalakkan orang ramai mengambil tindakan sewajarnya, bukan sekadar menjadi pemerhati atau merakam kejadian.

“Jika filem ini boleh membuatkan ibu bapa lebih prihatin, guru lebih responsif terhadap setiap aduan dan rakan memilih untuk membantu daripada sekadar melihat, itulah perubahan sebenar yang kita mahu bina dalam masyarakat," katanya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan produksi dijangka akan ‘menjelajah’ sekurang-kurangnya ke 100 institusi pendidikan di seluruh negara selepas filem berkenaan dilancarkan.

Kumar berkata, inisiatif itu membabitkan institusi pendidikan daripada sekolah rendah hingga institusi pengajian tinggi, dengan tayangan trailer akan disusuli filem penuh selepas penerbitannya.

“Matlamat kita mudah, iaitu membawa mesej kesedaran mengenai buli terus kepada generasi muda kerana pencegahan hari ini mampu menyelamatkan masa depan,” katanya.

Selain Kumar, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) JSJ Bukit Aman, Datuk Siti Kamsiah Hassan turut tampil dalam filem tersebut.

 

Must Watch Video

Advertisement