MOSCOW: Di sebalik kesibukan di kuliah masing-masing, lebih 100 pelajar Malaysia pelbagai jurusan di Rusia tidak melepaskan peluang menghadiri majlis meraikan mereka di sambutan Aidilfitri secara sederhana di Moscow, semalam.

Majlis itu adalah anjuran Kedutaan Malaysia di Moscow sebagai menghidupkan semula acara tahunan yang terhenti sebelum ini kerana sekatan COVID-19.

Sebahagian pelajar Malaysia di Rusia yang dirai dalam majlis sambutan Aidilfitri anjuran Kedutaan Malaysia di Moscow pada Isnin. - Gambar Astro AWANI

Para pelajar yang hadir termasuk mereka daripada jurusan Perubatan di lima universiti diiktiraf JPA iaitu Volgograd State Medical University (VSMU); Kursk State Medical University (KSMU); First Moscow State Medical University dan Pirogov Russian National Research Medical University.

Turut hadir, pelajar bidang kejuruteraan daripada Moscow Aviation Institute (MAI) dan jurusan Bisnes & Perniagaan daripada St Petersburg University.

Para pelajar Malaysia di Rusia berbual dengan Duta Besar Rusia di Moscow (berbaju batik) semasa mereka dirai di majlis sambutan Aidilfitri anjuran Kedutaan Malaysia di Moscow pada 1 Syawal. - Gambar Astro AWANI

Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Bala Chandran Tharman semasa berucap di majlis itu menarik perhatian bahawa pentingnya sambutan Aidilfitri di perantauan sebagai pengubat kerinduan mereka kepada kampung halaman.

"Kerinduan rakyat Malaysia di Rusia untuk berada di tanah air terubat dengan keakraban antara sesama yang terjalin sepanjang berada di perantauan. Inilah pentingnya kalau kita adakan sambutan Aidilfitri bersama warga Malaysia di perantauan," katanya.

Menurut beliau, selain dapat bertemu dan mengenali antara satu sama lain, acara sedemikian berupaya menjadi platform bertukar-tukar pandangan dan berkongsi masalah lebih-lebih lagi mengenai kesan daripada pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada awal Februari lepas.

Seperti Malaysia dan beberapa negara lain di dunia, Rusia menyambut 1 Syawal pada 2 Mei, iaitu pada Isnin.

Para pelajar Malaysia di Rusia dihidang juadah Hari Raya seperti sate dan lemang semasa majlis sambutan Aidilfitri anjuran Kedutaan Malaysia di Moscow pada Isnin. - Gambar Astro AWANI

Antara lain, selain bertakbir dan bersolat secara beramai-ramai di premis kedutaan, para pelajar Malaysia di Rusia dihidang dengan juadah Hari Raya seperti ketupat, rendang dan sate.

Salah seorang pelajar Malaysia di Rusia, Ahmad Ashraff Haiqal Ahmad Zakki, 21, berkata, beliau teruja untuk berada di Moscow dan menyertai ratusan pelajar daripada universiti lain bagi meraikan kemeriahan 1 Syawal.

"Ini pertama kali saya hadir memeriahkan sambutan Aidilfitri yang dianjurkan kedutaan. Kalau tahun lepas, majlis ini tidak diadakan kerana ramai pelajar belajar secara dalam talian disebabkan sempadan masih belum dibuka. Tahun sebelumnya iaitu 2020, sambutan Aidilfitri bersama kedutaan juga tiada kerana kes jangkitan COVID-19 yang tinggi di Rusia, lebih-lebih lagi di Moscow.

"Walaupun lokasi sedikit jauh, iaitu lebih 900km, saya tetap enggan lepaskan peluang berada di Moscow bersama duta, kakitangan kedutaan dan pelajar Malaysia lain di Rusia ini. Sebab itu saya teruja untuk hadir dan pada pandangan saya, selain mengubat kerinduan kepada kampung halaman, ini adalah peluang yang baik untuk berkenalan dengan rakan-rakan lain dari universiti berbeza di Rusia ini,'' kata pelajar Tahun 3 jurusan Perubatan dari Volgograd State Medical University, VSMU ini.

Selain menjadi pengubat kerinduan kepada kampung halaman, majlis sambutan Aidilfitri anjuran Kedutaan Malaysia di Moscow, Rusia menjadi platform untuk ratusan pelajar Malaysia di Rusia bertukar-tukar pandangan dan berkongsi masalah sesama mereka. - Gambar Astro AWANI

Semasa awal penularan COVID-19 pada Mac 2020, Rusia menjadi antara negara yang mencatatkan jangkitan tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat dengan angka harian lebih 100,000 kes.

Malah pada awal tahun ini, apabila pandemik mula reda, Rusia bertindak menceroboh jirannya Ukraine, sekali gus mengundang tindak balas dunia dan berlaku beberapa siri sekatan dengan mata wang Rusia iaitu Ruble jatuh ke paras paras terendah berbanding dolar Amerika.

Selain menjadi pengubat kerinduan kepada kampung halaman, majlis sambutan Aidilfitri anjuran Kedutaan Malaysia di Moscow, Rusia menjadi platform untuk ratusan pelajar Malaysia di Rusia bertukar-tukar pandangan dan berkongsi masalah sesama mereka. - Gambar Astro AWANI

Selain itu, tindakan Rusia ke atas Ukraine menyebabkan harga makanan kini melambung tinggi.

Terdapat lebih 700 warga Malaysia berdaftar dengan kedutaan Malaysia di Moscow, dengan majoritinya, iaitu 779 adalah pelajar.