MELAKA: Remaja lelaki berusia 16 tahun yang dikhuatiri lemas di kawasan tambak berhampiran Pantai Klebang di sini Rabu lalu dipercayai ke lokasi berkenaan untuk mencari ketam.
Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu mangsa, Muhammad Arif Daniel Nizamuddin, 16, merupakan pelajar institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang datang ke lokasi berkenaan bersama seorang rakan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa bersama rakannya berada di kawasan berkenaan untuk mencari ketam sebelum mangsa dipercayai berenang lebih ke tengah dan ditarik ombak.
“Rakan mangsa memaklumkan bahawa mangsa cuba pergi lebih ke tengah. Pada asalnya, mereka mencari ketam sebelum mangsa pergi ke arah laut dengan berenang.
“Kita percaya mangsa mungkin ditarik ombak atau terjerlus ke kawasan lebih dalam sebelum terus hilang.
“Pada masa yang sama juga, rakannya telah menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan lanjut,” katanya ditemui di lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Klebang di sini, pada Khamis.
Turut hadir, ADUN Klebang, Datuk Lim Ban Hong.
Katanya, operasi pencarian mangsa telah bermula Rabu lalu membabitkan pasukan penyelam JBPM di dua sektor dengan keluasan kira-kira 900 meter persegi sehingga jam 7 malam, namun mangsa masih belum ditemui.
“Operasi dihentikan sementara pada waktu malam sebelum disambung semula pada jam 7 pagi tadi dan masih diteruskan sehingga kini.
“Pada masa ini, kita turut bergantung kepada APMM untuk melakukan pencarian di permukaan perairan dan kita berharap mangsa dapat ditemui secepat mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berada di kawasan laut, terutama di lokasi berisiko.
Katanya, kawasan berkenaan merupakan tambak persendirian dan kejadian itu merupakan insiden pertama berlaku di lokasi terbabit.
Pada masa sama beliau memaklumkan akan memanjangkan perkara ini kepada pihak berkaitan supaya kawasan ini dapat ditutup kepada orang ramai bagi mengelakkan kejadian sama berulang. -Sinar Harian