Skip to main content

Malaysia

Himpunan gagal petanda Rafizi patut bersara - Aktiviti politik

Faizan Mohd Nor rafizi ramli
Faizan berkata, kegagalan Rafizi menarik kehadiran besar seperti sebelum ini menunjukkan tokoh berkenaan tidak lagi relevan dalam kalangan masyarakat. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Himpunan Tangkap Azam Baki yang berlangsung di ibu negara dengan kehadiran ratusan peserta baru-baru ini petanda jelas bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli tidak lagi mendapat sokongan meluas rakyat.

Aktivis politik, Faizan Mohd Nor berkata, walaupun perhimpunan itu didakwa melibatkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik, jumlah kehadiran yang rendah menunjukkan ia gagal menarik sokongan seperti himpunan Reformasi dan Bersih sebelum ini.

Advertisement

“Maknanya, rakyat telah menolak Rafizi kerana beliau dilihat gagal dalam pelbagai aspek, termasuk tidak menunaikan janji manifesto dan kurang berkesan ketika memegang jawatan Menteri Ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 500 individu berkumpul di pusat bandar bagi menyertai perhimpunan berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang disertai Rafizi.

Dalam pada itu, Faizan bersama pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong serta puluhan peserta turut mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat Rafizi bagi mendesak beliau bersara daripada politik.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kegagalan Rafizi menarik kehadiran besar seperti sebelum ini menunjukkan tokoh berkenaan tidak lagi relevan dalam kalangan masyarakat.

“Mungkin masih ada segelintir anak muda yang menyokong beliau, namun golongan dewasa termasuk dalam kalangan masyarakat Cina dilihat tidak lagi teruja,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, insiden kekecohan melibatkan beberapa individu berlaku selepas selesai Himpunan Tangkap Azam Baki pada Sabtu.

Kejadian dipercayai bermula apabila timbul perasaan tidak puas hati antara beberapa individu yang lain ketika himpunan berkenaan berakhir.

Adegan tolak menolak serta menjerit antara satu sama lain berlaku sebelum keadaan ditenangkan petugas keselamatan dan anggota polis yang bertugas.

Keadaan kemudiannya kembali tenang apabila peserta himpunan diarahkan bersurai sepenuhnya.

 

Must Watch Video