KUALA LUMPUR: Polis telah merakam keterangan 11 individu yang dikenal pasti terlibat dalam Himpunan Aman Selamatkan Malaysia di ibu negara, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, setakat ini 11 individu telah hadir untuk dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pada Isnin.

"Kita akan memanggil beberapa lagi individu untuk dirakam keterangan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Antara yang hadir memberi keterangan pada jam 10.30 pagi, iaitu Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz; Ketua Srikandi Muda Bersatu Malaysia, Nurul Fadzilah Kamaluddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin.

Tun Faisal ketika ditemui sebaik selesai memberi keterangan berkata, beliau ditemani tiga peguam hadir untuk memberi keterangan berhubung penganjuran himpunan berkenaan.

"Sepanjang proses berlangsung, tiga perkara ditanya dan dibangkitkan oleh pihak polis termasuk berhubung laporan yang dibuat pada Sabtu lalu.

“Bagi saya ini adalah proses biasa yang dilaksanakan oleh pihak polis walaupun bagi pandangan saya siasatan ini tiada asasnya," katanya.

Tun Faisal berkata, sepanjang tempoh memberi keterangan itu, pihaknya memberikan kerjasama yang baik kepada polis.

“Masing-masing yang dipanggil diminta oleh pihak berkuasa hadir memberi keterangan ikut jadual," katanya.

Pada Ahad, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan sebanyak 25 individu dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung himpunan itu.

Kesemua mereka dipanggil untuk membantu siasatan selepas polis membuka satu kertas siasatan berkaitan perhimpunan itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 4 (2) (b) dan Seksyen 4 (2) (e), (f) akta yang sama.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian