KUALA LUMPUR : Seramai enam individu telah dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung perhimpunan melibatkan Sekretariat Majlis Reunion Perjumpaan Bekas Perajurit RU6622 di Tugu Negara pada Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya, kesemua mereka telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung perkara berkenaan.

"Setakat ini kita telah memanggil enam individu dan sedang mengesan beberapa individu lain yang menyertai himpunan itu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Semalam, kira-kira 1,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah berhimpun bagi menuntut beberapa perkara daripada kerajaan termasuk soal kebajikan.

Menurut Pengerusi bersama perhimpunan, Mejar (B) Mior Rosli Mior Mohd Jaafar, perhimpunan berkenaan menuntut tiga perkara utama meliputi penyelarasan pencen yang kurang mendapat perhatian kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan.

Ujarnya, perjuangan selama lapan tahun menyuarakan isu terbabit yang juga merupakan hak kumpulan pesara hanya seperti ‘bertepuk sebelah tangan’.