KUALA LUMPUR : Polis mengesahkan telah menahan seorang anggota polis wanita yang tular sebelum ini mengeluarkan kata-kata kurang sopan serta menghina anggota bawahan pasukan itu. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar berkata, penjawat awam itu telah ditahan pada jam 1.20 tengah hari Ahad di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

“Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak telah membuat tangkapan terhadap seorang perempuan warga tempatan yang berumur 35 tahun.

“Polis juga turut merampas telefon bimbit untuk membantu siasatan berkait Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Hussein, suspek akan diberi jaminan sebaik sahaja kertas siasatan lengkap berikutan ada beberapa lagi laporan yang dibuat terhadap suspek sama.

Dalam rakaman yang tular sebelum ini, suspek dipercayai seorang pegawai polis telah meninggikan suara dengan mengatakan anggota polis berkenaan tidak layak menegurnya selain merendahkan jawatannya sebagai lans koperal.

Dalam pada itu, tular satu lagi rakaman video didakwa membabitkan pegawai polis yang sama, dalam kejadian pertengkaran berbeza di lokasi lain.