Skip to main content

Malaysia

Hina mahkamah: Betty Benafee dan adik akur mohon maaf secara terbuka

Mahkamah Tinggi Johor Bahru
Sebelum ini, mahkamah turut menolak permohonan Shakib bagi melakukan semakan dokumen terhadap syarikat perkapalan berkenaan pada 30 April 2023. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Betty Benafee terpaksa akur untuk membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas didapati bersalah mengingkari perintah mahkamah.

Perkara itu selepas Betty atau nama sebenarnya, Ibtisam Betty Banafee Sekh Abu Bakar dikatakan telah mengeluarkan kenyataan jelik sehingga menjejaskan reputasi terhadap sebuah syarikat perkapalan bumiputera di Johor meskipun telah menerima perintah injunksi pada 11 September 2024.

Turut menerima arahan sama merupakan adik Betty, Shakib Abu Bakar Banafee yang merupakan seorang peniaga restoran terkait kesalahan yang sama.

Shakib dikatakan mengeluarkan kenyataan sama yang dimuat naik menerusi akaun media sosial TikTok milik kakaknya pada 2 Disember 2024.

Permohonan maaf oleh kedua-dua mereka itu telah dilakukan pada Selasa di hadapan Hakim, Budiman Lutfi Mohammaed.

Sementara itu, peguam mewakili syarikat perkapalan berkenaan, Datuk Arthur Wang Ming Way menerusi kenyataannya hari ini berkata, kedua-dua mereka juga sebelum ini telah menerima permohonan komital berhubung perbuatan yang sama.

“Pada 4 November 2025, Mahkamah Tinggi Johor Bahru telah memberi kebenaran untuk permohonan komital difailkan terhadap mereka akibat tindakan mengekalkan hantaran mengenai syarikat tersebut yang dimuatnaik oleh Betty Banafee di akaun TikTok, Instagram dan Facebook miliknya pada 1 September 2024, 8 September 2024 dan 12 Disember 2024.

“Permohonan komital tersebut merupakan permohonan komital kedua terhadap adiknya manakala permohonan komital pertama terhadap Betty Banafee.

“Tiga notis telah dihantar sebelum ini bagi menggesa penurunan kandungan berkenaan namun tidak menerima sebarang pengesahan bertulis positif,” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, kedua-dua mereka juga dikatakan bersetuju untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari mulai Selasa menerusi platform media sosial Betty yang perlu dikekalkan untuk tempoh sebulan.

Mengulas lanjut, Arthur turut berkata, peguam yang mewakili Betty dan Shakib juga merupakan firma guaman yang ketiga selepas dua lagi firma guaman mereka sebelum ini membuat keputusan untuk menarik diri daripada mewakili anak guamnya itu.

Sebelum ini, mahkamah turut menolak permohonan Shakib bagi melakukan semakan dokumen terhadap syarikat perkapalan berkenaan pada 30 April 2023.

Tambah Arthur, pasangan adik beradik itu turut berdepan satu lagi prosiding mahkamah berhubung isu saman fitnah membabitkan syarikat yang sama yang telah difailkan sejak Januari 2023 dan masih berjalan sehingga kini.

Pada September 2024 yang lalu, Betty serta adiknya juga pernah mencetuskan kontroversi apabila membuat beberapa kenyataan yang mempertikai siasatan pihak polis berhubung siasatan kes yang telah diklasifikasikan sebagai NFA.

Must Watch Video

Advertisement