Duta Besar Finland ke Malaysia, Petri Puhakka, menasihatkan rakyatnya agar menghormati undang-undang dan peraturan negara ini serta prihatin dengan pegangan agama masyarakat tempatan.

Dalam satu kenyataan kepada Bernama, beliau berkata, peringatan itu penting kerana ia terdapat dalam seksyen nasihat perjalanan di laman sesawang kedutaan tersebut.

Beliau merujuk kepada kes penghantaran pulang empat rakyat Finland yang ditahan selepas didakwa mengedar bahan-bahan keagamaan mengandungi teks yang dipetik dari Bible.

"Kedutaan kami sedar akan kes ini. Kami sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Malaysia bagi mengikuti perkembangannya.

"Saya fikir, adalah adil juga untuk mengatakan bahawa, secara umum, rakyat Finland terkenal dengan sikap yang mematuhi undang-undang dan peraturan," katanya.

Bagaimanapun, duta berkenaan dilaporkan Bernama tidak menjelaskan mengenai merit kes itu berdasarkan kekangan undang-undang privasi Finland.

Namun, beliau melahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa Malaysia yang telah memberikan kerjasama yang baik ketika menangani kes tersebut.

"Hubungan dua hala antara Finland dan Malaysia adalah kukuh, dan kedutaan sedang melakukan yang terbaik untuk terus mempertingkat dan memupuk hubungan ini.

"Malaysia adalah satu contoh unik masyarakat berbilang kaum, yang menyaksikan pelbagai budaya dan agama mampu hidup bersama," beliau dipetik berkata.

BACA: Pihak berkuasa sedang siasat dakwaan edar Bible depan sekolah - TKM P. Pinang

Pada 26 Nov, Bernama melaporkan, empat rakyat Finland yang ditahan enam hari sebelumnya kerana mengedar pen dan risalah tertera pernyataan dari Bible di Langkawi, telah dihantar pulang.

Polis tempatan menahan kesemua rakyat Finland, termasuk dua wanita, di sebuah bilik hotel di pulau itu pada kira-kira jam 5 petang serta merampas 47 batang pen dan 336 buku kecil mengandungi kenyataan-kenyataan yang dipetik dari Bible.

Bahan-bahan itu dipercayai cuba diedarkan kepada penduduk tempatan.