Skip to main content

Malaysia

Pengurus pajak gadai, dua pengawal didakwa subahat, pecah masuk premis

Tiga termasuk pengurus wanita (tengah) didakwa mendalangi kes pecah masuk premis pajak gadai hingga rugi RM28.4 juta. - Foto RTM
Tiga termasuk pengurus wanita (tengah) didakwa mendalangi kes pecah masuk premis pajak gadai hingga rugi RM28.4 juta. - Foto RTM

Ringkasan AI

  • Tiga individu termasuk seorang pengurus wanita mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah masuk premis pajak gadai di Kota Tinggi awal bulan ini.
  • Mahkamah membenarkan jaminan antara RM10,000 hingga RM12,000 dengan syarat tambahan, dan menetapkan 7 Disember untuk sebutan semula kes.
  • Kes pecah masuk ini melibatkan kerugian RM28.4 juta dan dipercayai bertujuan menghapuskan bukti kegiatan pecah amanah berkaitan barang kemas palsu.
Advertisement

KOTA TINGGI: Seorang pengurus wanita bersama dua pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan bersubahat dan melakukan pecah masuk sebuah premis pajak gadai di Kota Tinggi pada awal bulan ini.

Ketiga-tiga tertuduh Nor Zeelyza Mohammad Moheli, 42, Norzai Asman Ahmad Saru, 39, dan Nasaruddin Mahabod, 41, membuat pengakuan itu secara berasingan di hadapan Majistret Hafizah Abdul Rajak.

Mengikut pertuduhan, Nor Zeelyza didakwa bersubahat bersama-sama Norzai Asman dan Nasaruddin untuk memecah masuk premis pajak gadai milik Koperasi Perbadanan Melayu Negeri Johor (KPMNJ), cawangan Kota Tinggi, dengan niat mencuri barang kemas dan wang tunai milik premis berkenaan.

Advertisement

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Warung Pak Abu Nasi Kerabu, Jalan Abdullah, Kota Tinggi, pada 5 Nov lepas, kira-kira 12.30 tengah hari, mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 457 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun dan denda, serta boleh dilanjutkan maksimum 14 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Norzai Asman dan Nasaruddin pula didakwa bersama-sama melakukan pecah masuk premis sama dengan niat mencuri barang kemas dan wang tunai pada 6 Nov lepas, kira-kira 1.20 pagi.

Advertisement

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 kepada setiap tertuduh dengan dua orang penjamin, selain memohon syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah membenarkan Nor Zeelyza diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin, berserta syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan.

Norzai Asman dan Nasaruddin pula dibenarkan diikat jamin sebanyak RM12,000 setiap seorang dengan dua orang penjamin, berserta syarat tambahan sama.

Nor Zeelyza diwakili peguam Muhammad Zahier Rosli dan Noorain Tupani, manakala Norzai Asman diwakili Izaac Izzudeen Mohd Izhar dan Nasaruddin diwakili Noorain Tupani.

Mahkamah menetapkan 7 Dis depan bagi sebutan semula kes. Kesemua tertuduh membayar wang jaminan masing-masing.

Sebelum ini, Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad pada 10 Nov lepas berkata kes pecah masuk premis pajak gadai membabitkan kerugian RM28.4 juta itu dipercayai dirancang bagi menghapuskan bukti kegiatan pecah amanah yang membabitkan pemajakan barang kemas palsu sejak empat hingga lima tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement