AYER KEROH: Pembinaan hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Melaka yang sebelum ini terpaksa ditangguhkan, bakal dibina dalam masa terdekat.

Malah pembinaan hospital itu yang dicadangkan di Hospital Jasin sebelum ini juga akan ditukar ke Hospital Melaka dengan mengambil kira kemudahan kesihatan di hospital berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, hospital medan berkenaan akan dibangunkan di kawasan tempat letak kereta Hospital Melaka dan akan menggunakan utiliti elektrik daripada Masjid Al-Azim yang terletak bersebelahan bangunan hospital itu.

Katanya, perubahan lokasi hospital medan itu bertujuan untuk membantu kakitangan Hospital Melaka menguruskan pesakit COVID-19 dan pesakit bukan COVID-19 secara lebih teratur dan sistematik.

“Pihak kerajaan negeri mengucapkan terima kasih dan bersyukur atas aset yang akan dipindahkan dan akan dibina di Melaka. Kita akan pastikan apa yang disebut dalam Dewan Rakyat semalam mesti menjadi kenyataan… kalau ada hospital medan ia boleh la menampung mereka, yang bukan COVID-19 dapat kita hantar di Hospital Jasin nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan norma baharu kempen Vax & Win anjuran NCT Alliance Berhad di di Kompleks Seri Negeri pada Rabu.

BACA: COVID-19: Melaka tangguh pembinaan hospital medan

Sebelum ini, Sulaiman dilaporkan berkata, cadangan pembinaan hospital medan ATM di Jasin yang sepatutnya dijadual beroperasi minggu lalu terpaksa ditangguhkan susulan kerajaan Pusat perlu memberi keutamaan kepada negeri-negeri yang mencatatkan kes jangkitan baharu yang tinggi seperti di Selangor.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada Selasa pula berkata, hospital medan ATM di Labuan akan ditutup sekali gus membolehkan kemudahan itu dibawa dan dibuka di Melaka.

Katanya, penutupan hospital medan ATM di Labuan dilakukan kerana pulau bebas cukai itu merupakan yang pertama di malaysia mencapai imuniti kelompok dan kes jangkitan COVID-19 juga menurun.

Dalam perkembangan sama, Sulaiman berkata, kerajaan negeri juga bercadang membuka Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Stadium Hang Jebat, Krubong bagi mengurangkan kepadatan pesakit di CAC sedia ada.

Malah katanya, lokasi yang luas dan jauh dari kediaman penduduk juga dianggap bersesuaian.

Selain itu, mengulas mengenai pemberian vaksin di negeri itu pula, Sulaiman berkata, sehingga 26 Julai lalu, bagi dos pertama sebanyak 271,152 manakala 147, 293 dos kedua pula telah diberikan kepada rakyat negeri ini.