Pusat Darah Hospital Melaka memerlukan sumbangan orang ramai apabila kini mengalami penyusutan bekalan darah jenis A.

Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri Melaka, Low Chee Leong berkata bekalan darah kumpulan A semakin menurun, namun ia tidak mencapai tahap kritikal.

"Kita khuatiri jika penyusutan ini terus berlaku ianya akan menjejaskan bekalan darah jenis tersebut, jesteru itu kita berharap orang ramai yang mempunyai darah jenis A sedia menderma darah mereka," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Low berkata bekalan darah diperlukan bagi menampung permintaan yang meningkat bagi kegunaan pesakit-pesakit kronik yang memerlukan pemindahan darah berulang dan pesakit mengandung yang memerlukan darah untuk pembedahan.

"Buat masa ini bekalan masih mencukupi untuk kegunaan semasa dan kecemasan, namun penderma perlu tampil menderma bagi mengelakkan bekalan terus berkurangan dan menjadi kritikal," katanya.

Beliau berkata secara purata Hospital Melaka memerlukan hampir 600 hingga 700 beg darah pelbagai jenis setiap minggu.

--BERNAMA