Akhirnya video penuh yang memaparkan projek ‘Hoverboard’ oleh Lexus sudah dikeluarkan, dan ia memang menyeronokkan serta gila! Walaupun promosi Hoverboard ini bermula Jun lalu, pihak syarikat sebenarnya memulakan projek ini sejak 18 bulan lepas.

Ia dilakukan dengan kerjasama sepasukan saintis daripada IFW Dresden dan evico GmbH, pakar di dalam teknologi apungan magnetik.

Bagaimanakah projek ini menyumbang kepada kerja Lexus di dalam pembuatan kereta? Entahlah, tetapi pastinya syarikat ini mempunyai imej yang lebih ‘cool’ sekarang. Lihat sahaja videonya…



Mengikut kata Mark Templin, naib presiden Lexus International, “Kami ingin merentasi sempadan teknologi, rekaan dan inovasi untuk menjadikan perkara mustahil satu kenyataan. Dengan projek yang kami namakan ‘Slide’ ini, kami bekerjasama dengan mereka yang berkongsi impian kami mendapatkan keseronokan daripada pergerakan.”

Video ini telah dirakamkan di Cubelles, Barcelona; jauh daripada lokasi di mana Hoverboard ini dibangunkan, iaitu Dresden, Jerman. Sehingga 200 meter trek magnetik telah diangkut ke Barcelona dan diletakkan di bawah permukaan meluncur untuk membolehkan Hoverboard ini terapung.

Teknologi Hoverboard ini berfungsi dengan dua ‘cryostats’, ruang menyimpan bahan superkonduktor yang disejukkan ke suhu -197 darjah selsius. Pada suhu ini, superkonduktor tersebut menjadi sebuah magnet melalui aliran elektrik yang terhasil. Dan magnet superkonduktor ini kemudian akan berlawan dengan kuasa magnetik yang ada di bawahnya. Oleh itu, wujudlah daya apungan yang dapat menampung berat seorang dewasa.

Atlit papan luncur profesional, Ross McGouran adalah antara yang membantu di dalam proses pembuatan prototaip ini. “Saya sudah 20 tahun bermain papan luncur tetapi pergerakan tanpa geseran ini terasa begitu berbeza. Saya perlu mempelajari teknik baharu, seperti cara berdiri dan imbangan untuk bermain Hoverboard ini. Ia satu pengalaman lain.”

Bagi mereka yang dah mula congak-congak wang simpanan, Hoverboard ini bukan untuk dijual.