KUALA LUMPUR: Huawei bersedia untuk menyokong dan memanfaatkan keupayaan teknikal, penyelesaian industri dan ekosistemnya untuk meningkatkan rangkaian 5G, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga digital negara dalam membina Malaysia yang inovatif dan hijau dari segi digital.

Presiden Huawei Asia Pasifik Simon Lin berkata dalam Malaysia meneruskan agenda pendigitalan dan neutral karbonnya, Huawei komited untuk menjadi rakan kongsi dalam setiap langkah ke arah mencapai visi tersebut.

"Selain itu, kami akan terus menyumbang kepada masyarakat Malaysia dengan membangunkan kemahiran bakat tempatan," katanya dalam ucapan pada Sidang Kemuncak ICT Malaysia 2023 di sini pada Rabu.

Beliau berkata Huawei teruja menyaksikan Malaysia sedang mengorak langkah besar ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi dan digital menjelang 2030.

"Seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatannya ke China, Malaysia menyasarkan untuk mencapai Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dalam tempoh tujuh tahun dan untuk mencapai matlamat ini, pelaburan kira-kira RM95 bilion akan diperlukan.

"Pelaburan ini akan membawa pulangan yang luar biasa kepada ekonomi digital Malaysia. Menjelang 2025, sektor ini dijangka menyumbang lebih 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, melebihi RM382.0 bilion," katanya.

Lin berkata pendigitalan akan menyokong Malaysia dalam meningkatkan bahagian tenaga boleh baharu dalam pemasangan kapasiti kepada 31 peratus menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2035, sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju neutral karbon 2050.

Sidang Kemuncak ICT Malaysia 2023 selama dua hari, bertemakan "Digital Malaysia, Green Growth", bertujuan untuk menggalakkan inovasi dan pembangunan infrastruktur ICT selain membawa lebih banyak peluang untuk pertumbuhan ekonomi digital Malaysia yang mampan dan menaik taraf industri.

Lebih 300 profesional industri, peneraju perusahaan dan rakan kongsi ekosistem dari pelbagai segmen dalam industri ICT menghadiri sidang kemuncak tersebut anjuran Huawei Technologies (M) Sdn Bhd.

-- BERNAMA