KUALA LUMPUR: Momentum kukuh dalam hubungan China-Malaysia akan berterusan di saat kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-10 perkongsian strategik komprehensif mereka tahun ini, kata Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Berucap pada majlis resepsi sempena Ulang Tahun Ke-74 Penubuhan Republik Rakyat China, di sini Rabu malam, beliau berkata kerjasama pragmatik antara kedua-dua negara telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Perdagangan dua hala mencecah US$106.68 bilion (kira-kira RM498.942 bilion) dalam tempoh tujuh bulan pertama dan China terus menjadi rakan dagangan utama Malaysia, katanya memetik statistik China.

"Menurut perangkaan Malaysia, pelaburan China di Malaysia berjumlah US$ 12.5 bilion (kira-kira RM55.4 bilion), menyumbang 33.9 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing Malaysia tahun lepas," katanya.

Ouyang menyatakan bahawa lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara adalah kerap, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkunjung ke China sebanyak dua kali tahun ini, mencapai kata sepakat dengan Presiden Xi Jinping untuk bersama-sama membina komuniti China-Malaysia dengan berkongsi masa depan bersama.

Lawatan-lawatan berikutnya selepas itu telah mengukuhkan lagi kepercayaan politik yang mendalam antara kedua-dua negara, katanya, termasuk lawatan Menteri Luar Wang Yi ke Malaysia pada Ogos.

"Tahun depan bakal menandakan ulang tahun ke-50 China-Malaysia menjalin hubungan diplomatik, satu peristiwa penting dalam sejarah hubungan dua hala China-Malaysia," katanya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang mewakili kerajaan Malaysia menjadi tetamu kehormat pada majlis itu.

Turut hadir Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching.

-- BERNAMA