WASHINGTON: Hubungan Malaysia-Amerika Syarikat terus berkembang daripada kerjasama tradisional kepada perkongsian strategik yang merangkumi ekonomi, teknologi, pertahanan, keselamatan dan isu serantau.
Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob berkata, hubungan yang terjalin sejak 1957 itu mencerminkan kedalaman kerjasama kedua-dua negara dan kini diperkukuh melalui Perkongsian Strategik Komprehensif.
“Malaysia penting kepada Amerika Syarikat, dan Amerika Syarikat juga sangat penting kepada Malaysia,” katanya pada sambutan Hari Malaysia, di sini, kelmarin.
Beliau berkata, Malaysia sebagai negara perdagangan dan hab pembuatan serta teknologi di Asia Tenggara mempunyai ruang besar untuk memperluas kerjasama dengan Washington dalam bidang semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, domain digital dan mineral kritikal.
Menurutnya, kerjasama Malaysia-AS juga melangkaui ekonomi, termasuk pertahanan dan keselamatan serta usaha menyokong keamanan dan kestabilan serantau melalui ASEAN.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik, Michael DeSombre berkata, hubungan kedua-dua negara dibina atas asas kepentingan bersama, kedaulatan undang-undang, pasaran terbuka dan saling menghormati sejarah.
Beliau berkata, Malaysia kini merupakan antara 20 rakan dagang utama Amerika Syarikat, dengan perdagangan dua hala melebihi AS$80 bilion tahun lepas, manakala pelaburan Amerika Syarikat di Malaysia terus berkembang dalam sektor semikonduktor, mineral kritikal dan pusat data.
DeSombre turut menekankan peranan Malaysia dalam ASEAN serta kerjasama yang semakin berkembang dalam bidang angkasa lepas, mineral kritikal dan keselamatan maritim.
Beliau berkata, Tugu Negara turut menjadi simbol hubungan bersejarah kedua-dua negara, yang mempunyai kaitan dengan lawatan Tunku Abdul Rahman ke Washington pada 1960 dan hasil karya pengukir Amerika Felix de Weldon.
“Enam dekad kemudian, asas itu berkembang menjadi salah satu perkongsian paling penting kami di Indo-Pasifik,” katanya.
Sambutan Hari Malaysia itu turut dihadiri Timbalan Penolong Setiausaha di Jabatan Perang Amerika Syarikat, Rafael Leonardo; Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Malaysia, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, anggota kor diplomatikl dan profesional.
Pelbagai juadah tradisional Malaysia turut disediakan pada majlis berkenaan, termasuk satay dan durian yang menjadi antara tarikan serta rebutan para tetamu.