PUTRAJAYA: Hujah pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa akaun bank beliau dimanipulasi oleh Low Taek Jho, atau Jho Low sehingga terdapat wang RM42 juta di dalamnya, tidak boleh diterima, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Ad Hoc Datuk V Sithambaram berkata, bekas Perdana Menteri itu bukan sahaja tidak kerugian apa-apa, malah membelanjakan wang puluhan juta ringgit,  yang dimasukkan oleh Jho Low.

Sithambaram berkata, Ahli Parlimen Pekan itu sendiri mengakui perkara berkenaan, sewaktu disoal balas di perbicaraan peringkat Mahkamah Tinggi sebelum ini.

“Urusan Jho Low dengan AmBank adalah pengetahuan perayu, dan tugasan utamanya adalah untuk memastikan dana sentiasa mencukupi dalam akaun bank peribadi milik perayu.

“Walaupun Nik Faisal (Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan SRC International ketika itu) merupakan pemegang mandat akaun Najib, namun AmBank melalui Joanna Yu, berurusan dengan Jho Low sewaktu ketiadaan Nik Faisal,” katanya kepada panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Rayuan kes SRC Najib masuk minggu ketiga

[TERKINI] Perdengaran rayuan DS Najib Tun Razak

Selepas itu, Sithambaram berkata, Nik Faisal kemudian akan melakukan pemindahan wang dalaman untuk memastikan setiap cek yang dikeluarkan Najib, dapat ditunaikan.

Hari ini merupakan hari ke10 prosiding rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan melibatkan dana RM42 juta milik SRC International.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib atas pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International.

Beliau kini dalam cubaan pertama untuk mengetepikan hukuman yang disabitkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali itu.

Selain Abdul Karim, dua lagi yang mendengar prosiding tersebut ialah Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Has Zanah Mehat.

Meneruskan hujahnya, Sithambaram berkata, adalah tidak masuk akal untuk pihak pembelaan mengatakan tindakan Jho Low memasukkan dana ke dalam akaun seorang Perdana Menteri ketika itu, adalah semata-mata untuk membuat Najib percaya, beliau mempunyai dana yang bukan kepunyaannya.

Berdasarkan bukti dan keterangan yang dinilai secara maksimum sebelum ni, Sithambaram berkata, pihak pendakwaan percaya Jho Low, sebenarnya telah diarahkan oleh perayu untuk memastikan wang dalam akaunnya sentiasa mencukupi.

Hujahnya lagi, atas sebab itu , ahli perniagaan yang kini menjadi buruan itu, sentiasa memasukkan dana ke dalam akaun bank Najib, untuk tujuan perbelanjaan.

Selain itu, Sithambaram berkata, sekiranya perayu mengetahui Jho Low cuba melakukan penipuan, sepatutnya sudah ada siasatan terperinci tentang bagaimana ahli perniagaan buruan itu memanfaatkan dana RM42 juta berkenaan.