HULU TERENGGANU: Tidak sampai 12 jam selepas kesemua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Terengganu ditutup, negeri itu sekali lagi dilanda banjir.

Hujan lebat pada Rabu menyaksikan daerah Hulu Terengganu menjadi daerah terbaharu di negeri berkenaan yang terjejas akibat bencana tersebut.

Situasi itu menyaksikan seramai 40 mangsa daripada tujuh keluarga terpaksa berlindung di dua PPS.

Berdasarkan laporan sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, seramai 14 mangsa membabitkan empat keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Kemat.

Manakala tiga lagi keluarga membabitkan 26 mangsa dipindahkan ke PPS Balai Raya Kampung Tapah yang mula diaktifkan kira-kira jam 6 petang tadi.

Terdahulu, banjir gelombang pertama yang melanda Terengganu sejak Jumaat lalu pulih sepenuhnya selepas semua pusat PPS telah ditutup pada jam 12 tengah hari tadi.

Keadaan cuaca yang cerah itu membolehkan kesemua mangsa yang dipindahkan ke PPS pulang ke rumah masing-masing.

Bencana itu menyebabkan lebih 600 mangsa di daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, Kemaman dan Dungun terkesan dengan bencana alam tersebut.