Ibu bapa benteng utama bentuk peribadi, nilai sosial anak - Nancy

Nancy berkata ibu bapa perlu memperkukuh nilai kekeluargaan dengan komunikasi dua hala bersama anak-anak, selain mengamalkan langkah mendisiplinkan mereka melalui pendekatan yang seimbang dan penuh kasih sayang. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penekanan terhadap disiplin, pemantauan dan komunikasi ibu bapa adalah benteng utama dalam membentuk keperibadian serta nilai sosial anak-anak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Ringkasan AI
- Nancy Shukri menekankan disiplin dan komunikasi dua hala ibu bapa sebagai asas membentuk nilai moral serta mengelak anak terjebak masalah sosial.
- Kementeriannya menyediakan pusat remaja KafeTEEN sebagai tempat selamat untuk aktiviti berfaedah dan kaunseling bagi pelajar berisiko.
- Bulan Keluarga Kebangsaan November ini akan menumpu kepada penglibatan aktif ibu bapa dalam memperkukuh institusi keluarga dan hubungan dengan anak-anak.
"Semuanya bermula di rumah. Kalau ibu bapa sendiri tidak membimbing anak-anak, maka di situlah akar masalahnya.
"Anak-anak sekarang terdedah kepada pelbagai gajet. Kita tidak boleh membiarkan mereka tanpa bimbingan, sebab kalau kita biarkan, inilah yang menjadi masalah di sekolah-sekolah hari ini," katanya kepada Bernama hari ini .
Nancy berkata demikian selepas menghadiri sesi rakaman podcast bersama Bernama TV di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Beliau berkata pendedahan kanak-kanak dan remaja tanpa kawalan terhadap pelbagai bahan dalam talian menyebabkan sebahagian golongan itu menganggap perbuatan tidak bermoral sebagai perkara normal.
Pada masa yang sama, Nancy berkata kementerian telah menyediakan inisiatif Pusat Remaja KafeTEEN (KafeTEEN) yang berperanan sebagai tempat selamat untuk pelajar selepas waktu sekolah bagi mengikuti aktiviti berfaedah seperti debat, program pembangunan diri dan keusahawanan.
Beliau berkata ia juga berfungsi sebagai platform untuk membantu mereka menempuhi alam remaja dengan yakin dan selesa melalui bimbingan serta pendidikan.
"Kadang-kadang pelajar balik sekolah dan tiada siapa di rumah. Di KafeTEEN mereka boleh belajar berdebat, mengenali tubuh manusia, malah ada yang dilatih menjadi pemimpin dalam bidang ekonomi," katanya.
Selain itu, Nancy berkata kementerian juga menawarkan perkhidmatan kaunseling luar sekolah kepada mana-mana remaja atau pelajar yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral sebagai antara langkah pemulihan.
Beliau berkata perkhidmatan itu memberi ruang selamat kepada remaja untuk bersuara tanpa bimbang terhadap stigma orang sekeliling.
"Kami pernah temui pelajar berumur 13 tahun yang mengaku sudah beberapa kali terlanjur dalam hubungan seksual. Jadi, kami bantu mereka melalui sesi kaunseling yang terbuka (tanpa stigma) dan selamat untuk mereka bersuara," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Nancy berkata penganjuran Bulan Keluarga Kebangsaan pada November ini akan menekankan kepentingan penglibatan aktif ibu bapa dalam membina hubungan mesra dengan anak-anak.
Beliau berkata acara utama akan diadakan di Putrajaya pada 8 dan 9 Nov ini, dengan pelbagai pengisian dan aktiviti interaktif mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak, di samping sebagai platform ilmu memperkukuh institusi kekeluargaan.
Nancy berharap sambutan kali ini dapat menjadi wadah memperkukuh institusi keluarga yang sihat dan harmoni, sekali gus menjadi asas kepada pembentukan generasi lebih berakhlak serta berdaya tahan terhadap cabaran sosial semasa.
"Saya menyeru kepada ibu bapa untuk membawa seisi keluarga khususnya anak-anak untuk menyertai pelbagai program yang kita sediakan pada sambutan kali ini," katanya.
- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami