Ringkasan AI
- Ibu bapa digesa tidak membenarkan anak bawah 16 tahun menggunakan WhatsApp bagi mengurangkan risiko buli siber dan penyebaran kandungan tidak sesuai.
- Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan ibu bapa perlu memantau aktiviti digital anak-anak kerana mereka mungkin tidak mengetahui dengan siapa anak berkomunikasi atau kandungan dikongsi.
- Beliau turut menekankan risiko kumpulan peribadi di WhatsApp dan Telegram yang boleh menjadi ruang berlakunya buli siber tanpa pengetahuan orang awam.
KUALA LUMPUR: Ibu bapa digesa tidak membenarkan anak berusia bawah 16 tahun menggunakan aplikasi WhatsApp bagi mengurangkan risiko terdedah kepada buli siber dan penyebaran kandungan tidak sesuai.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penggunaan aplikasi berkenaan oleh kanak-kanak perlu diberi perhatian kerana ibu bapa tidak semestinya mengetahui dengan siapa anak mereka berkomunikasi atau kandungan yang dikongsi dalam kumpulan sembang.
Beliau berkata, walaupun WhatsApp boleh digunakan untuk memudahkan komunikasi antara ahli keluarga, platform itu turut berpotensi menjadi ruang berlakunya buli siber dan penyebaran pelbagai kandungan yang boleh memberikan kesan negatif kepada kanak-kanak.
"Saya juga sedikit risau kerana ada platform komunikasi tertentu seperti WhatsApp dan Telegram yang menggunakan penyulitan hujung ke hujung, membolehkan kumpulan tertentu diwujudkan tanpa pengetahuan orang awam.
"Kumpulan ini bukan kumpulan awam, sebaliknya kumpulan peribadi dan kadangkala isu buli bermula atau berleluasa dalam kumpulan seperti ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Pelajar Pemacu Negara: 'Sayangi Diri, Jauhi Dadah dan Hargai Kehidupan' di sini pada Rabu.
Sehubungan itu, Fahmi berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memantau aktiviti digital anak-anak serta memastikan mereka memahami risiko berinteraksi dengan individu tidak dikenali dan berkongsi kandungan di media sosial.