KUALA LUMPUR: Seorang ibu didakwa di Mahkamah Sesyen Selayanghari ini atas pertuduhan mengabaikan anak kandung lelakinya yang maut selepas terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Selayang November lalu,

Tertuduh yang berusia 24 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nor Rjiah Nat Zin.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak lelakinya berusia lima tahun tujuh bulan telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kecederaan fizikal pada tubuh kanak-kanak tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Lebuh Raya Selayang-Kepong di sini antara pukul 9.40 pagi hingga 10.48 pagi pada 17 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kemalangan | Kanak-kanak maut terjatuh dari tingkat 16


Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar mencadangkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh berserta syarat tambahan yang bersesuaian dengan mahkamah.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam bela itu memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin itu dengan alasan hanya seorang suri rumah dan tidak mempunyai pendapatan.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan selain dilarang menganggu saksi-saksi pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Januari 2022 untuk sebutan semula kes selain serahan dokumen dan lantikan peguam.

Media sebelum inj melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Caves, Gombak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai bermain dan memanjat sebuah katil yang berada di tepi tingkap yang tidak dipasang jeriji.

Pada 18 November lalu ibu saudara mangsa berusia 36 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian mangsa.